Oleh: Abang Median Abang Said
PERTEMBUNGAN ekonomi dan budaya kerap menjadi persoalan yang mengakar dalam landskap idea dan penghasilan karya – sering kali juga dikaitkan dengan pergolakan jiwa dan silang pemikiran antara watak muda dan tua. Sudut moden dan tradisi selalu ditelusuri dalam hasil karya untuk menggerakkan binaan plot dalam sesebuah karya. Pertembungan dua elemen ini akan menguji kekritisan dan kekreatifan pengarang untuk menggali artifak budaya yang cuba dipertahankan oleh generasi tua. Dalam penulisan kritikan, kemampuan untuk menyelidiki artifak budaya dari perspektif ekologi mulai mencuat ketika Greg Garrard mula memperkatakan tentang perkara tersebut dalam beberapa seminar sastera. Elemen yang cuba ditelusuri adalah dari aspek krisis lingkungan termasuk persoalan budaya yang terkait dengan fenomena sastera.
Dalam penghasilan karya, perubahan zaman, budaya, masa, kemusnahan lingkungan dan degradasi moral yang kompleks sering melekat pada teks sastera sehingga menimbulkan tantangan jikalau sesebuah karya itu cuba dinilai dan dibaca mengikut ekokritik sastera. Teks-teks sastera, sama ada melalui drama pentas, novel atau cerpen, banyak mengetengahkan pertembungan masa, pemikiran, budaya dan corak kehidupan untuk merefleksikan kehidupan yang dilalui oleh watak. Perkara inilah yang cuba diketengahkan oleh Stephanie Juanita Anak Ahlee melalui cerpennya, “Bumi Ini Tidak Dijual” yang tersiar dalam Utusan Sarawak pada 26 Januari yang lalu.
Cerpen ini mengetengahkan luapan semangat yang ditonjolkan melalui watak Apai Wat yang menjadi simbol perjuangan golongan tua yang kental dengan pendirian dan tekad untuk terus mempertahankan tanah. Bagi golongan tua, ‘tanah’ itu juga adalah simbol kepada jati diri, ketuanan – turut mencakupi tentang budaya yang perlu dipertahankan dari semasa ke semasa seperti yang dilaungkan oleh Apai Wat sewaktu mengadakan upacara miring di Kampung Nanga Burek. Jamuan selepas upacara miring tatkala penduduk kampung dihidang dengan beberapa lauk pauk tradisional hasil hutan dan tangkapan air turut menunjukkan tentang kebulatan budaya kehidupan yang cuba dipertahankan oleh generasi tua di kampung berkenaan.
Permulaan cerpen ini digerakkan melalui dialog panjang yang dilontarkan melalui watak Apai Wat – lelaki tua yang telah memasuki usia 80-an, mempunyai tatu di seluruh tubuh yang tuurt dikaitkan dengan elemen budaya kerana tatu pada zaman dahulu bukan dibuat untuk berfesyen tetapi menjadi simbol kepada keperwiraan dan sejarah kehidupan. Tatu yang dilukis boleh menjadi simbol keperwiraan termasuk bilangan kepala musuh yang telah dipenggal seperti yang telah dilakukan oleh Apai Wat:
Di hadapan pintu bilik rumahnya sendiri, ada selonggok tengkorak kepala musuh yang telah dibunuhnya oleh tangan tua itu. Sebab itu,dia menjadi ketua kampung paling berpengaruh dan dikenali sebagai pahlawan berani.
Raymond William telah mengatakan bahawa perubahan budaya dan pemikiran adalah kondisi yang sangat khusus bagi otak manusia, bagi orang buta dan orang yang tidak mempunyai pengetahuan atau pendedahan. Apabila situasi berkenaan muncul dalam binaan plot sesebuah karya, perkara ini akan mendapat sorotan dan perhatian pengkaji dan pembaca. Persoalan budaya dan perubahan persepsi-pemikiran oleh latar budaya, masyarakat dan tempat pernah digagaskan oleh Hypolete Taine sebagai aspek berpengaruh dalam menggerakkan karya. Melalui cerpen “Bumi Ini Tidak Dijual”, pengarang cuba menampilkan watak cucu Apai Wat – Unggang, yang mewakili golongan muda hingga berlaku pertembungan persepsi dan pemikiran antara dua golongan berkenaan. Unggang digambarkan dalam usia remaja dan berkeinginan untuk melihat dunia luar apabila meminta kebenaran daripada Apai Wat untuk pergi ke bandar bersama-sama kawannya. Permintaan Unggang adalah permintaan biasa daripada naluri ingin tahu remaja namun membawa satu konotasi yang besar dalam membawa kepada pertembungan antara golongan tua-muda dan pertembungan budaya di kota dan desa.
Permintaan daripada Unggang telah ditolak mentah-mentah oleh Apai Wat yang mempunyai prasangka dan prejudisme tentang budaya dan elemen kemodenan yang di bawa daripada kota. Kekecewaan yang dialami oleh Unggang termasuk hasutan melalui sahabatnya – Luta, telah membawa kepada persoalan nilai dan moral apabila Ungggang telah cuba menipu dan mempedaya datuknya untuk meneruskan kelangsungan hasratnya untuk pergi ke bandar untuk melihat sendiri perbezaan antara kawasan kota dan desa.
Berdasarkan gambaran yang cuba diketengahkan oleh pengarang, tidak ada elemen negatif yang dilalui oleh Unggang apabila dia dan Luta pergi ke bandar. Cuma hasrat dan keinginannya itu dicapai dengan menipu Apai Wat. Unggang berasa kagum melihat bangunan yang mencakar langit termasuk dengan hiruk-pikuk manusia di kawasan berkenaan yang begitu ramai. Unggang merasai sensasi yang luar biasa tatkala berada di bandar sehingga dia mempunyai keinginan untuk pergi semula ke tempat tersebut. Pastinya dengan penipuan dan pembohongan lagi. Pengarang sengaja membina ketegangan dan perbezaan ketara antara watak Unggang dan datuknya, Apai Wat untuk menggerakkan konflik dan plot cerita. Ketegangan dan konflik yang dibina oleh pengarang terus hidup dan tumbuh dalam jiwa pembaca. Pengolahan yang dilakukan oleh pengarang terasa lancar sehingga terus memberi impak yang menyeronokkan kepada pembaca untuk terus mengikuti rentetan peristiwa yang cuba digarap oleh pengarang.
Penggunaan teknik plot seperti dialog oleh pengarang juga mampu menyampaikan desar dan gusar perasaan watak Unggang dalam cerpen berkenaan. Disebabkan keinginannya yang begitu tinggi untuk terus mengikuti Luta ke bandar, dia telah berinteraksi dengan neneknya untuk mengetahui pergerakan datuknya. Apabila neneknya menyatakan bahawa datuknya akan pergi ke rumah panjang sebelah atas beberapa urusan, Unggang menjadikan itu sebagai lowongan peluang untuk terus membohongi kedua-dua orang tua berkenaan. Teknik dialog telah dimanipulasi oleh pengarang dengan baik dan lancar. Watak Unggang dan watak nenek terasa akrab dan tumbuh melalui dialog-dialog ringkas yang diolahnya. Terasa padu dan padat. Di bawah ini diperturunkan semula dialog berkenaan :
“Nek. Atuk ada cakap nak keluar ke mana-mana tak hari ni?”
“Tadi ada orang jemput atuk kau ke rumah panjang sebelah. Kenapa?”
“Oh. Baguslah.”
“Kau nak ikut?”
Kronologi peristiwa yang disusun oleh pengarang menjadi kekuatan kepada cerpen ini kerana pembaca seperti dapat menggambarkan dan turut melalui peristiwa tersebut. Kemarahan Apai Wat yang mengetahui pembohongan yang dilakukan oleh cucunya terasa begitu dekat dalam jiwa pembaca. Gambaran mimik wajah Apai Wat dan tindakan hukuman yang akan dilakukan turut memberikan debaran kepada pembaca. Unggang telah disebat di bahagian lengan atas tindakannya itu. Dia juga tidak diberikan makan. Pengarang sengaja membina jurang persepsi antara pembaca, watak Apai Wat dan Unggang dalam cerpen berkenaan. Pada mulanya, pembaca akan tertanya-tanya : Apakah salahnya jikalau Unggang pergi ke bandar sebentar? Tindakan ini tentunya akan membuka mindanya agar tidak terus terkongkong dan terselubung. Lagipun golongan remaja tentu mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Perasaan ingin tahu itulah yang perlu dituntun dan dipimpin dengan bimbingan yang berkesan – bukannya membiarkan Unggang pergi sendiri dan meneroka dengan kawannya, Luta. Cuma kongkongan yang berlebihan itu menyebabkan Unggang mencari alternatif lain sehingga sanggup berbohong. Cerpen ini juga cuba menyelitkan tentang pendekatan dan corak bimbingan golongan tua kepada golongan muda. Pengajaran telah disisipkan oleh pengarang supaya golongan tua sentiasa menilai sama ada pendekatan pendidikan yang diterapkan itu sesuai dengan perubahan masa dan zaman.
Konotasi tajuk cerpen yang merujuk kepada “bumi” turut mencakupi pada tanah, adat, martabat dan prinsip yang cuba dipertahankan oleh golongan tua yang diwakili oleh Apai Wat. Kehadiran sebuah syarikat yang ingin memiliki sebahagian tanah hutan di belakang rumah panjang dengan nilai harga yang sangat tinggi, iaitu sebanyak RM5 juta telah menyemarakkan lagi perasaan marah Apai Wat. Bagi Apai Wat, persetujuan untuk menjual tanah pusakan tersebut samalah seperti menggadai maruah dan budaya yang cuba hendak dipertahankan. Sebagai pembaca, beberapa pertimbangan cuba mencari ruang dan tempat untuk dinilai kerasionalannya; lebih-lebih lagi tujuan pembelian tanah tersebut adalah untuk keperluan industri dan perumahan yang tentunya akan menaikkan lagi taraf ekonomi dan nilai hartanah di kawasan berkenaan. Tetapi persepsi dan pandangan golongan tua yang diwakili oleh Apai Wat tentunya melihat perkara itu daripada perspektif yang berbeza. Di sinilah kejayaan pengarang membina pertembungan dan konflik bukan hanya kepada watak dalam cerpen berkenaan tetapi turut mencapah kepada konflik pembaca. Pembaca akan menilai tindak-tanduk dan keputusan yang dibuat oleh watak-watak dalam cerpen berkenaan. Maknanya, cerpen ini telah merangsang pemikiran kritis pembaca untuk membuat penilaian atas konflik yang diketengahkan.
Cerpen “ Bumi Ini Tidak Dijual” banyak memaparkan elemen-elemen aksi dan dramatik yang menggambarkan pergolakan jiwa dan lontaran kemarahan watak-watak dalam cerpen berkenaan yang dipaparkan melalui pengucapan dialog yang fungsional. Dialog yang diucapkan oleh Apai Wat jelas menunjukkan kemarahannya pada tindakan syarikat yang cuba menggula-gulakan masyarakat kampung dengan imbalan wang ringgit. Berikut adalah contoh dialog yang diolah oleh pengarang yang berjaya memaparkan pergolakan jiwa dan menonjolkan perwatakan Apai Wat :
“Betul-betul tak guna! Nak beli tanah orang kampung. Kita ni nak pindah ke mana? Kenapa nak ganggu hidup kita di sini? Kita tak kacau mereka! Kurang ajar betul!”
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pembinaan perwatakan watak dalam cerpen berkenaan terutama melibatkan watak Unggang dan Luta yang digambarkan dalam usia remaja. Gambaran tahap pendidikan watak berkenaan tidak dirincikan. Adakah watak tersebut sudah habis persekolahan? Apakah tahap pendidikan mereka hingga mereka berdua terus berada di kampung? Jikalau keinginan Unggang begitu tinggi untuk berada di bandar, mengapa dia tidak belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi yang tentunya terletak di bandar-bandar utama? Perkara itulah yang serba sedikit merencatkan binaan plot yang diolah oleh pengarang. Jikalau usia Unggang adalah pada akhir remaja, kewajaran Unggang disebat dan tidak diberikan makan (apabila dia diketahui oleh datuknya berbohong) seolah-olah gambaran hukuman kepada golongan pertengahan remaja yang masih bersekolah. Tentunya terdapat konflik dan ketidakselarian pada gambaran berkenaan.
Dialog antara Unggang dan Luta terutama tentang wang RM5 juta yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan untuk membeli tanah di belakang rumah panjang menggambarkan corak pemikiran golongan muda yang lebih melihat kepada material dan keuntungan segera. Golongan tua yang diwakili oleh Apai Wat melihat kepada perjalanan generasi yang lebih jauh – lebih-lebih lagi, tanah digambarkan sebagai adat, maruah dan prinsip yang perlu dipertahankan. Apai Wat pastinya tidak mahu kesenangan sementara sehingga menggadai masa depan generasi terkemudian.
Namun, wakil daripada syarikat berkenaan pandai mengambil ruang dan peluang untuk menyisipkan jarum bujukan lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa Unggang merupakan cucu kepada Apai Wat yang memiliki tanah berkenaan. Wakil syarikat tersebut memujuk Unggang mengambil cap ketua kampung untuk melaksanakan niat jahat mereka.
Tindakan Unggang yang bersetuju untuk mencuri cap jawatan datuknya telah memberikan gambaran tentang pemikiran dan persepsi golongan muda yang tidak berfikir panjang. Golongan muda sering digambarkan sebagai golongan yang rakus yakni menginginkan keuntungan atau kemewahan segera. Mereka sering tidak memikirkan impak daripada tindakan yang mereka lakukan. Menerusi cerpen tersebut, Unggang akhirnya menjumpai cap tersebut yang dijumpai di bawah timbunan fail dan buku. Sewaktu Unggang mencari-cari cap tersebut, pengarang ingin mengwujudkan rasa tegang dan saspens pembaca sama ada tindakan kotor Unggang itu berjaya direalisasikan. Apakah yang bakal berlaku jikalau Unggang tertangkap sewaktu sedang mencari-cari cap berkenaan? Apakah tindakan yang akan dilakukan oleh Apai Wat? Semua itu terus mengheret pembaca untuk terus mengikuti rentetan perjalanan peristiwa dalam cerpen berkenaan.
Cerpen ini diakhiri dengan kejutan tatkala Unggang meninggal dunia. Dia dihempap oleh pokok sebelum sempat menyerahkan cap yang dicuri daripada datuknya. Tindakan Unggang yang mencuri cap akan memungkinkan hutan di belakang rumah panjang milik Apai Wat akan terjual, seterusnya akan ditebang dan menyembah bumi. Belum pun sempat tindakan jahat itu dilakukan, pokok tersebut memang telah menyembah bumi dalam keadaan yang tidak terjangka hingga menghempap tubuh Unggang yang membawa kepada kematiannya. Pokok telah dijadikan simbol untuk menghukum segala tindakan jahat Unggang. Pokok yang tumbang itu juga merupakan gambaran sarkastik untuk menunjukkan ketidakrelaannya terhadap tindakan Unggang.
Setiap gaya bahasa dan garapan yang digunakan dalam cerpen ini menampakkan kebolehan dan kebijakan pengarang. Elemen negatif yang disimbolkan melalui ‘bandar’ dan ‘orang luar’ menjadi racun kepada ketenteraman di kawasan desa. Kehidupan dan minda Unggang rosak disebabkan oleh pengaruh tersebut sehingga dia sanggup mengambil keputusan nekad dengan mencuri cap jawatan datuknya dan telah membawa beg pakaian untuk lari dengan upah wang yang akan diberikan. Unggang digambarkan telah mengalami kejutan budaya hingga lebih condong kepada material. ‘Tanah’ yang dikonotasikan dengan martabat, adat dan prinsip – sanggup dijual oleh Unggang demi mengejar kemewahan material.
Cerpen ini diolah dengan sangat baik dari aspek bahasa, perwatakan dan susunan plot sehingga menonjolkan potensi pengarang sebagai penulis masa depan yang menjanjikan. Cuma beberapa kesilapan kecil dari aspek ejaan dan kesalahan tatabahasa perlu diambil perhatian oleh pengarang. Umpamanya ‘Cop’ sepatutnya dieja ‘cap’. Selain itu, pengarang juga tidak membezakan penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’. Kesilapan-kesilapan kecil ini perlu ditangani dengan baik. Walau bagaimanapun, kesilapan-kesilapan ini tidak mampu menafikan kelincahan bahasa pengarang dan garapan pengolahan ideanya yang tersusun menarik.
Dengan keinginan dan hasrat dalam bidang ekonomi dan budaya bererti ada hal-hal yang mendukung konsepsi fikiran tentang pelestarian lingkungan yang menitikberatkan tentang alam. Itulah kehidupan yang mementingkan tentang pengurusan alam. Jikalau tersalah urus, lalu akan mengorbankan pihak lain, demi keperluan diri dan nafsu serakah seperti yang digambarkan melalui watak Unggang. Pemilihan tentang ekonomi dan budaya telah membawa kepada kejadian yang sangat tragis – kematian watak Unggang telah mengingatkan saya pada cerpen karya Azizi Haji Abdullah. Tentunya, pengarang cerpen “Bumi Ini Tidak Dijual” ingin mengikuti jejak Azizi Haji Abdullah untuk menjadi cerpenis yang berjaya.
Yah, dengan usaha dan ketekunan pasti semua itu akan terlaksana!