KUCHING: Cabaran Berbasikal Samarahan 2023 akan diadakan pada 14 Mei depan, yang bakal disertai 300 peserta dari dalam dan luar negara.
Acara yang memasuki edisi ketujuh itu akan bermula dan berakhir di hadapan Summer Mall dan sepanjang Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.
Ia dianjurkan bersama Pejabat Daerah Samarahan dan Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian Samarahan (DTTG) dengan bantuan Persatuan Berbasikal Sarawak serta mendapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Semalam, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa induk penganjuran Cabaran Berbasikal Samarahan 2023 di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini.
Acara tersebut akan mempertandingkan tujuh kategori iaitu Elite Lelaki Kriterium (42km), Master A (35-44 Tahun Ke atas), Master B (45 Tahun Keatas), Sarawak Close Kriterium (42km), Junior Lelaki Kriterium (30km), Wanita Kriterium (30km) dan acara baru iaitu Folding/Minivelo.
Dalam pada itu, ia turut terbuka kepada semua warganegara Malaysia di samping menggalakkan penyertaan dari luar negara.
Oleh NUR AIN OTSMAN