KUCHING: Projek tiang bendera tertinggi bernilai RM30 juta disifatkan sebagai ‘bukan isu.’
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, kerajaan Sarawak tidak akan bercadang untuk membina infrastruktur sedemikian tanpa mempunyai alasan.
“Ia adalah untuk mengingatkan rakyat Sarawak mengenai sejauh mana (pencapaian) negeri ini telah dicapai, terutamanya apabila menuntut kembali haknya.
“Saya percaya semua rakyat Sarawak tahu bahawa negeri kita telah ditadbir dengan baik, dan pulangan seperti dalam bentuk hasil minyak dan gas (O&G) adalah baik,” katanya ketika diminta mengulas isu terbabit, hari ini.
Katanya, sebuah syarikat memutuskan untuk membiayai projek tiang bendera itu setelah mengetahui kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk mendirikannya.
“Ada pihak yang membuat bising mengenai projek tiang bendera ini. Perkara yang sama turut berlaku apabila berita mengenai air pancut muzik itu terbongkar.
“Bukan semua dana untuk membina sekolah, hospital, atau jalan raya. Kalau kita ada baki dana, tidak menjadi masalah untuk menggunakannya untuk membina infrastruktur lain untuk mengindahkan bandar,” katanya.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan baru-baru ini mengesahkan projek itu akan menjadi sebahagian infrastruktur pelancongan di Kuching serta menunjukkan kesetiaaan kepada Sarawak.
Jumaat lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan, tiang bendera yang dicadangkan itu pada ketinggian 99 meter, empat meter lebih tinggi dari tiang bendera tertinggi semasa negara di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Tiang bendera itu dicadang akan didirikan berhampiran Tea House atau Fort Margherita di sekitar Kompleks Dewan Undangan Negeri.
Oleh NUR AIN OTSMAN