BINTULU: Sarawak akan mula mengeluarkan metanol pada Januari tahun depan dengan pengoperasian kilang pertama yang terletak di Hab Petrokimia Bintulu di Kidurong, Bintulu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata berkata pembangunan loji itu, yang melibatkan kos dianggarkan RM8 bilion, sedang berada di peringkat akhir, dengan percubaan operasi ditetapkan pada April tahun ini.
“Ini tahun terakhir mereka membangunkan loji ini dan saya difahamkan pada April, mereka akan memulakan percubaan dengan gas yang akan disalurkan ke loji.
“Jika berjalan seperti dirancang, Sarawak akan memulakan pengeluaran metanol pada Januari tahun hadapan untuk pasaran,” katanya kepada media selepas melawat projek Loji Metanol Petchem Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perancangan untuk membina jeti khusus bagi membolehkan kapal tangki teknikal untuk membawa metanol ke pasaran.
“Melalui Petchem Sarawak, Kita juga dapat melatih pekerja untuk industri yang agak canggih seperti petrokimia,” katanya.
Selain itu, kata Abang Johari, jaringan internet dan digital di kawasan tersebut akan dipasang sambungan rangkaian 5G dengan sasaran menjelang 2024.
“Seluruh Kidurong, Samalaju dan sebahagian Bintulu akan dinaik taraf kepada rangkaian 5G menjelang 2024 dengan harapan ia dapat ditingkatkan lagi pada kelajuan lebih tinggi berikutan kawasan tersebut penting untuk ekonomi Sarawak dan juga Malaysia,” katannya.
Sementara itu, Abang Johari berkata rancangan pembangunan projek loji metanol kedua, didorong daripada hasil pelaburan swasta.
“Selepas loji metanol satu beroperasi kelak, kita akan membangunkan loji kedua. Dari sudut kewangan semua sudah disediakan.
“Ini pelaburan sektor swasta, bukan kerajaan. Nampaknya, pihak institusi kewangan mempunyai keyakinan tinggi terhadap usaha industri ini di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dengan penemuan kawasan baharu oleh pihak Petronas, beliau yakin simpanan gas mencukupi.
“Tetapi, apa yang perlu, kita menggunakan teknologi terkini untuk menggalakkan aktiviti hiliran.
“Kita akan membangunkan hab petrokimia secara berperingkat. Ia tidak dibangunkan seperti Pengerang, tetapi atas kemahuan dan pelaburan,” katanya.
Oleh Carolyne Utih