BINTULU: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengambil semula Pelabuhan Bintulu dari Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah sebagai sebahagian keseluruhan strategi pembangunan pelabuhan di Sarawak.
Menurutnya, kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan supaya Pelabuhan Bintulu boleh ditadbir dan dibangunkan lagi sebagai Pelabuhan Negeri selaras dengan strategi yang dirangka untuk pelabuhan di negeri ini.
“Pelaksanaan strategi pembangunan untuk semua pelabuhan di Sarawak mesti merangkumi Pelabuhan Bintulu yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam memperingati ulang tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju (SIPSB) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, dengan berbuat demikian akan membolehkan kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk untuk pembangunan semua pelabuhan di negeri ini dan memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khasnya sendiri dalam menggalakkan perdagangan dan perniagaan.
“Ini sekali gus meningkatkan kesalinghubungan penghantaran dengan hab pengangkutan dan logistik global utama yang lain,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Pusat yang baharu ini akan memperkemas dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan serta pembangunan semua pelabuhan yang ada di Sarawak.
“Tarif Pelabuhan Bintulu disemak semula atau dinaikkan sejak 1993, dan lebih rendah daripada pelabuhan negeri, sekali gus mengalihkan lalu lintas dari pelabuhan negeri kita.
“Ini bertentangan dengan cadangan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan) bahawa tiada diskriminasi pelabuhan dan bayaran antara pelabuhan-pelabuhan di Sarawak yang akan mempunyai kesan mengalihkan trafik perdagangan dan maritim dari mana-mana pelabuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang SIPSB sepanjang tempoh operasi yang sudah mencecah 10 tahun ini.
Katanya, SIPSB merekodkan keuntungan RM164.6 juta termasuk daya pengeluaran kargo sebanyak 6.6 juta tan pada 2022 iaitu perkembangan memberangsangkan yang turut dipengaruhi oleh pertumbuhan pesat bidang perindustrian berat di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).
“Saya turut difahamkan bahawa pelabuhan itu dijangka akan mengendalikan lebih 10 juta tan kargo menjelang 2030 yang mana ia merupakan pertumbuhan yang memberansangkan,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak juga berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Petronas yang mempunyai kepentingan dalam sektor perindustrian berasaskan gas dan minyak sejak sekian lama.
Ini kerana, katanya, kerajaan Sarawak dan Petronas mempunyai rekod prestasi yang terbukti berjaya mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu selama ini.
“Dengan komitmen yang sama dan kerjasama baik antara Sarawak dan Petronas, ia akan memastikan Pelabuhan Bintulu berpeluang melakukan transformasi ke arah menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan atau hab pengangkutan utama di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Oleh Carolyne Utih