BINTULU: Sarawak mengharapkan diberi peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata ia bagi meneruskan agenda Sarawak berkaitan sekuriti makanan yang menjadi fokus Kerajaan Persekutuan.
Setakat ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, kementeriannya telah menganalisa bahawa import pembelian makanan haiwan ternakan, menelan kos tinggi.
“Kita telah pun berusaha dan sedang mengguna pakai bahan mentah sendiri iaitu sisa buangan kelapa sawit untuk dijadikan makanan haiwan ternakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu dan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang di sini, hari ini.
Rundi berkata, sekuriti makanan adalah salah satu sektor yang menjadi fokus Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tempoh hari saya ada dengar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ingin memberi tumpuan mengenai sekuriti makanan.
“Jadi, kita berharap Sarawak akan mendapat peruntukan lebih besar supaya dapat mengukuhkan sekuriti makanan kita,” katanya.
Katanya, peruntukan lebih besar pastinya dapat membantu wilayah ini memanfaatkan tanah yang luas sekali gus merealisasikan matlamat untuk menjadi bakul makanan negara.
Semalam, Anwar berkata nilai import makanan yang tinggi dan isu sekuriti makanan merupakan antara perkara yang diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023.
Oleh Carolyne Utih