BINTULU: Pembangunan di Sarawak bakal dilaksanakan dengan lebih progresif berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu adalah satu perkembangan yang baik untuk pembangunan di Sarawak dan Sabah.
“Perdana Menteri telah memberikan kuasa untuk meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak.
“Ini dapat mempercepat proses pelaksanaan sesebuah projek pembangunan dan mengurangkan karenah biokrasi serta kelewatan projek,” katanya pada majlis kesyukuran pelantikan sebagai menteri di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam di Sebauh di sini pada petang semalam.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, suara rakyat Sarawak akan lebih didengar di peringkat persekutuan dengan pelantikan lima menteri penuh dari Sarawak termasuk beliau sendiri.
Ini bermakna katanya, melancarkan lagi segala projek pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penduduk rumah panjang boleh menjana pendapatan menerusi program inap desa.
Justeru, menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, program sedemikian perlu dimajukan dengan melaksanakan agenda pembangunan dalam meningkatkan tahap prasarana dan infrastruktur di Sarawak.
Setakat ini, kata beliau, fokus diberikan tumpuan dalam mengenal pasti rumah panjang yang sesuai dijadikan sebagai inap desa.
Pada majlis itu, Tiong turut mengumumkan geran bantuan sebanyak RM30,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Raymond Plen.
Nanta pula mengumumkan sumbangan RM30,000 dan RM10,000, masing-masing untuk JKKK Biro Wanita rumah panjang sama.
Oleh Carolyne Utih