KUCHING: Pembinaan projek ‘tiang bendera tertinggi’ yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam, sebenarnya akan dibiayai sektor swasta.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan projek itu juga tidak mempunyai kaitan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Projek yang dipanggil ‘tiang bendera tertinggi’ berkenaan dibiayai oleh sektor swasta sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia.
“Projek itu termasuk pembangunan tapak yang ditetapkan serta kawasan sekitarnya, tidak mempunyai kaitan dengan isu MA63.
“Ia akan menjadi sebahagian daripada infrastruktur pelancongan di Kuching serta menunjukkan kesetiaan kepada Sarawak.
“Semoga ia menjadi inspirasi kepada semua rakyat Sarawak untuk berkhidmat kepada Sarawak,” kata Pejabat Premier Sarawak, yang dipetik oleh UKAS malam ini.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa kerajaan Sarawak merancang untuk mendirikan tiang bendera tertinggi negara untuk mengibarkan bendera Sarawak di Petra Jaya.
Sumber itu berkata, tiang bendera yang dicadangkan itu pada ketinggian 99 meter, empat meter lebih tinggi dari tiang bendera tertinggi semasa negara di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Tiang bendera itu dikatakan dicadang untuk didirikan berhampiran Tea House atau Fort Margherita, di sekitar Kompleks Dewan Undangan Negeri.
Tiang bendera setinggi 95 meter di bahagian selatan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, adalah antara tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.
Hari ini pula, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii merayu kepada kerajaan Sarawak untuk mempertimbangkan semula rancangan mendirikan ‘tiang bendera tertinggi’ di negara yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta.