SIBU: Bencana alam seperti banjir antara kekangan terbesar meruncingkan usaha untuk mempromosikan industri pelancongan khususnya di bandar Sibu.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini kerana banjir penyebab pengusaha pelancongan atau pelancong berfikir dua kali untuk datang ke Sibu dan masalah ini sangat penting untuk ditangani dengan kadar segera.
“Pada ketika ini, kerja-kerja mengukur dasar Sungai Rejang dan Igan sedang giat dijalankan. Ini untuk mendapatkan data yang diperlukan bagi melaksanakan projek pengorekan serta merancang program tebatan banjir yang berkesan.
“Usaha ini mesti dilakukan bagi menghadapi peningkatan mendadak jumlah air selain membolehkan pengaliran air lancar susulan corak cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim.
“Setahu saya, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian akan mengetuai delegasi ke luar negara untuk mengkaji penambahbaikan sistem perparitan yang lebih berkesan,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Jamuan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, malam tadi.
Ahli Parlimen Bintulu itu memberi jaminan bahawa dalam menyelesaikan masalah banjir di Sibu, sektor pelancongan negeri akan ditambah baik dan menjadi lebih bersepadu dengan industri pelancongan dan seni Malaysia.
“Yakinlah, rakan-rakan kami dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan komited dalam mempromosikan pelancongan tempatan termasuk mengenal pasti tarikan pelancong yang sesuai,” ujarnya.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan beberapa isu penting untuk Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akan terus melaksanakannya secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Ini adalah selepas Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan MA63 di Kuching pada 20 Januari lalu,” ujarnya lagi.
Terdahulu Presiden UCA Sibu, Lau Ing Siong dalam ucapan aluannya menekankan, keperluan perumahan sesuai untuk mereka yang berhijrah dari luar bandar, masalah kesesakan lalu lintas, pembangunan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Katanya, UCA sedang menantikan pelaksanaan Rancangan Pembaharuan Bandar Sibu yang akan melibatkan hampir 500 ekar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek.
“Masyarakat kini telah berubah dan fungsi serta peranan persatuan juga berubah. UCA Sibu bukan lagi sekadar kumpulan yang melindungi hak dan kepentingan masyarakat Cina.
“UCA akan berkhidmat kepada masyarakat Sibu secara keseluruhan dan akan melakukan lebih banyak kerja untuk menggalakkan keharmonian dan perpaduan negara, kami akan bekerja keras untuk membina Sibu yang lebih baik,” tegasnya.
Pada majlis tersebut, Tiong memperuntukkan RM50,000 kepada UCA dan masing-masing RM10,000 kepada unit wanita dan belia.
Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak,Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang dan Pengerusi Penganjur Hii Yik Ping.
Oleh AKUN GIMAN