KUCHING: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kes penggunaan gambar Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof secara haram dalam poster skim pelaburan yang baru-baru ini dikongsi di laman media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, PDRM telah memulakan siasatan kerana perkara ini adalah satu jenayah yang menggunakan gambar orang lain untuk agenda peribadi.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan gambar sesiapa tanpa kebenaran kerana ada undang-undang yang perlu dipatuhi
“PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Kuching, di sini hari ini.
Menjengah ke laman media sosial milik Dato Sri Fadillah pada 15 Januari lalu, Fadillah memberitahu bahawa beliau tidak terlibat dengan pelaburan berkenaan dan tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambarnya.
“Saya telah mengarahkan Pegawai Khas saya di Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran poster berkenaan.
“Untuk rekod poster palsu sama pernah disebarkan melalui perkongsian di media sosial pada tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Laporan polis juga pernah dibuat oleh pegawai saya pada 3 September 2022 mengenai penyebaran poster berkenaan di media sosial,” kata Fadillah.
Oleh NUR AIN OTSMAN