Oleh: Stephanie Juahnita Anak Ahlee
“Ini tanah kita. Hak milik kita semua. Kita harus pertahankan seperti kata-kata nenek moyang kita dahulu; seinci takkan lari,setapak takkan mengundur! Kita jaga dan sanggup mati demi anak cucu kita!” Laungan Apai Wat bergema kedengaran di seluruh kampung. Itu bukan demonstrasi mahupun rusuhan. Itu ikrar penduduk asal Kampung Nanga Burek. Upacara miring baru sahaja tamat diadakan dan seterusnya semua penghuni rumah panjang dijamu dengan makanan tengah hari seperti beberapa lauk pauk tradisional hasil hutan dan tangkapan air.
“Harapan aku untuk melihat anak cucu kita terus mengekalkan kampung kita ini. Suatu hari kita yang tua akan pergi meninggalkan dunia, generasi mudalah yang akan mewarisi segala apa yang kita ada. Aku tak nak kampung kita jatuh ke tangan orang lain yang bukan darah daging dari kampung asal ini.” Suara garau Apai Wat didengari oleh seluruh rumah panjang,baik wanita mahupun lelaki, yang tua sehingga ke muda.
“Biar apa saja pun habuan atau hadiah yang diberikan kepada kamu semua anak muda,jangan sekali jual harta pusaka dan tanah kita ini. Setiap darah kita ada mengalir di dalam sebutir batu dan secubit tanah yang kita pijak ketika ini. Kita sudah bersumpah untuk menjaganya sehingga akhir hayat kita,” kata lelaki itu. “Sumpah kita semua, sumpah mati!” Tegasnya.
Usianya mungkin telah memasuki 80-an, namun jika dilihat pada ukiran tatu di seluruh tubuhnya, orang tua itu bukan calang-calang orangnya. Setiap bekas parut yang ada tertanam kelihatan pada kulitnya ternyata ada kisah tersendiri. Bukan satu, malah lebih dari sepuluh kisah yang dia lalui sepanjang hidupnya. Di hadapan pintu bilik rumahnya sendiri, ada selonggok tengkorak kepala musuh yang telah dibunuhnya oleh tangan tua itu. Sebab itu,dia menjadi ketua kampung paling berpengaruh dan dikenali sebagai pahlawan berani.
****
“Atuk,aku nak ke bandar bersama dengan kawanku.”
Apai Wat memerhati wajah anak muda itu. Anak muda itu satu-satunya cucu dari anak tunggalnya. Masih muda. Dan tentu darah muda itu masih mahu menikmati dunia remaja seperti pemuda-pemudi yang lain. Kata orang,cucunya itu mirip sekali wajahnya ketika dia masih muda suatu ketika dahulu.
“Kau nak buat apa ke sana? Lebih baik kau belajar bagaimana berburu di hutan. Buang masa dan duit sahaja ke bandar!” kata Apai Wat kepada Unggang.
Wajah Unggang kecewa mendengarnya. Dia teringin sekali ke bandar. Melihat dunia luar. Sekali-sekala baginya tidak salah.
“Atuk, aku hanya berjalan sebentar ke bandar. Bukan tinggal di sana. Hanya nak melihat bagaimana rasanya berada di bandar.”
“Tak usah!” jerkah keras orang tua itu. Dia masih lagi mengekalkan jawapannya. Tidak mahu menurut permintaan cucunya. Jika dimanja, tentu anak muda itu memijak kepala untuk permintaan seterusnya. Unggang terus keluar lalu duduk di hujung bilik tempat neneknya menjemur padi.
“Bagaimana? Dapat?” soal Luta yang datang mendekati Unggang.
Unggang menggeleng kepala.
“Macam ni, aku ada rancangan.” Lalu, Luta berbisik padanya. Unggang mengangguk dan yakin rancangan Luta berjaya.
****
Unggang terpaku. Dia tidak pernah merasa terpesona seumur hidupnya. Ini pertama kali buatnya. Besar dan luas. Dia berasa kerdil sekali berada di tengah bandar itu. Bangunan yang tinggi melangit dilihatnya sehingga dia hampir tersadung ke bahu jalan. Orang ramai yang melintasinya ketawa dan berbisik sesama sendiri melihat telatah Unggang yang seperti rusa masuk kampung.
“Seronok tak?” tanya Luta. Unggang mengangguk. Pertama kali dia merasa bebas berbuat apa saja. Tanpa ada kongkongan atau pantang larang dari sesiapapun. Namun, dia sedar apa yang dapat membuat memiliki segalanya iaitu; wang ringgit.
“Kalau kau duduk di kampung, apa yang kau dapat? Kau fikirlah sendiri,” kata Luta. Kata-kata Luta semakin meracuni fikirannya.
*****
Unggang masuk dari hujung dapur. Dia tidak tahu ada neneknya memerhati dia perlahan-lahan masuk dengan membimbit baldi.
“Hah,kau ke mana tadi? Puas nenek cari dari hujung rumah panjang ke pintu depan.”
“Mandi sungai.” Bohongnya.
“Pakaian yang basah simpan di bilik mandi. Kenapa nak bawa ke bilik depan? Sudah besar pun masih nenek juga yang ajar itu ini,” rungut nenek tanpa berasa curiga. Unggang hanya menggaru kepala sambil tersengih. Dia terselamat daripada perkara yang sebenar. Tersenyum sambil mengurut dada tanda lega.
Malam itu,Unggang tidak dapat tidur. Dia asyik terkenang akan hal siang tadi. Begitu indahnya bandar, tidak seperti yang digambarkan oleh atuk. Bebas berbuat apa sahaja di sana; dengan pemandangan yang pelbagai dan juga gadis-gadis bandar tidak kurang cantik serta bergaya. Dia teringat akan dirinya yang hanya berseluar pendek jersi dan selipar murah. Pakaiannya juga lusuh. Sedikit malu timbul dalam dirinya; malu kerana dirinya orang kampung.
“Jadi kau nak ikut kami turun ke bandar hari ini?” tanya Luta keesokan harinya.
“….” Unggang tidak dapat memberikan jawapan. Dia takut. Sekali mungkinlah dia terlepas. Kedua kali jika dia ditangkap curi-curi ke bandar? Atuknya bukan calang-calang dalam ketegasan mendidik darah dagingnya. Sebab itu dia menjadi ketua rumah panjang itu.
“Kalau kau nak ikut,kau tunggu di sungai lebih kurang pukul 2 petang nanti.” Luta tepuk-tepuk bahu Unggang sebelum beredar pergi.
Unggang memerhati jauh ke hadapan. Dia jenguk-jenguk pada pintu bilik dan perhati jika atuknya ada di sekitar. Dia nampak orang tua itu berada di hujung rumah panjang. Sedang berbual dengan tuan rumah. Kelihatan peluh menitis jatuh dari dahi Unggang.
“Kenapa kau ni? Gelisah dari tadi nenek tengok.” Unggang melihat jam. Baru pukul satu. Dia tidak menyahut kata-kata neneknya.
“Nek. Atuk ada cakap nak keluar ke mana-mana tak hari ni?”
“Tadi ada orang jemput atuk kau ke rumah panjang sebelah. Kenapa?”
“Oh. Baguslah.”
“Kau nak ikut?”
Cepat-cepat Unggang menggeleng kepala. Dia masuk ke bilik tidur lalu menyembunyikan pakaiannya ke dalam baldi. Dia membimbit baldi dengan tuala dililit di bahu.
“Nek,aku nak mandi ke sungai dulu. Dengan Luta.
“Jangan lama mandi di sungai. Sejuk. Sakit nanti.”
“Ya,ya nek.”
*****
“Unggang!” Jerkah Apai Wat apabila melihat Unggang masuk ke rumah panjang bersama beberapa pemuda yang lain. Wajah Unggang segera pucat. Rahsia mereka diketahui oleh Apai Wat apabila ada penduduk kampung yang berselisih melihat mereka di bandar siang tadi.
“Kau tipu nenek kau, cakap ke sungai mandi padahal kau ke bandar! Aku dah cakap awal-awal! Aku dah pesan awal-awal! Jangan ke bandar! Di bandar tu,banyak perkara tak baik!” Dia memarahi dengan kakinya laju melangkah ke arah Unggang yang terpinga-pinga tidak tahu berbuat apa-apa lagi. Ditarik atuknya sehingga ditolak ke tengah ruang tamu.
Unggang terduduk sambil mendiamkan diri.
Malam itu,Unggang dihukum tidak makan. Dia perhati di lengannya ada libasan rotan oleh atuk. Merah dan garisan panjang. Namun, dia tidak menyesal. Dia sudah melihat kota bandar. Hatinya puas. Angan-angannya untuk ke bandar lagi. Dihukum bukan beerti dia mengalah.
“Siapa suruh orang syarikat tu masuk ke sini!? Aku takkan jual kampung dan tanah kita!” Apai Wat mengamuk. Di hadapan pintu rumah panjang dia menjerit sambil menghalau beberapa lelaki yang berpakaian segak. Darahnya mendidih panas. “Kampung ini dan tanah-tanah yang ada di sini bukan untuk dijual!” Marahnya lagi. Dia marah kerana tiba-tiba ada sekumpulan lelaki yang datang untuk berunding dengannya. Mahu membeli sebahagian hutan bagi mendapatkan pokok-pokok besar bagi tujuan pembangunan industri dan perumahan.
Apai Wat mengacu parang ilangnya untuk menakutkan mereka. Lalu mereka beredar kerana takut dicederakan oleh Apai Wat. Seluruh penduduk kampung kecoh melihat kejadian itu.
“Betul-betul tak guna! Nak beli tanah orang kampung. Kita ni nak pindah ke mana? Kenapa nak ganggu hidup kita di sini? Kita tak kacau mereka! Kurang ajar betul!” Apai Wat mencemuh keseorangan ketika berjalan menuju ke bilik rumahnya. Siapa yang tidak marah dan geram dengan tingkahlaku orang yang tak dikenali secara tiba-tiba mahu menguasai tanah tempat tinggal mereka. Tanah turun temurun diwarisi oleh nenek moyang zaman berzaman.
****
“Aku dengar orang semalam nak beli hutan belakang kita yang berdekatan dengan jalan masuk tu. Tau berapa mereka nak beli? 5 juta,” kata Luta sambil menunjukkan lima jari tangannya. “Kaya tu. Kalau aku, aku ambil saja. Kemudian,aku ke bandar. Untuk memulakan hidup dengan 5 juta, lebih dari cukup tau,” tambahnya lagi. Dia bercerita di hadapan tiga sahabatnya yang lain termasuklah Unggang.
“Kereta? Rumah? Uishhhh.. Cukup tu.” Luta sudah membayangkan impian yang tertanam dalam fikiran.
“Tapi,itulah. Angan-angan.” Dia kemudian ketawa di hujung kata-kata.
Unggang juga ada terfikir. Apa yang dikatakan oleh Luta, benar. Jika ada wang, segala-gala yang diinginkan, sudah tentu mudah untuk diperoleh.
“Atuk kau tak fikirkah? Kalau dia sudah tua, bagaimana dia nak pergi berburu lagi? Kalau aku, aku akan menikmati hidup guna wang lima juta itu. Hanya perlu turunkan tandatangan saja. Bukan keluar modal pun,” hasut Luta.
“Haiss..kau ni.” jawab Unggang. Ternyata Luta ‘peracun fikiran’ yang handal. Benar kata-katanya menurut hati kecil Unggang. Dia terdiam sejenak.
“Helo. Kamu ni orang kampung dalam sanakah?” Tanya seorang lelaki pada Unggang. Unggang kebetulan berjalan keseorangan mahu ke kampung seberang.
“Ya. Ada apa encik?”
“Saya nak bagitau. Jual sajalah hutan belakang kampung. Bukan kami mau rumah panjang itu. Jangan salah faham. Sayang hutan belakang tu tak diguna untuk pembangunan. Kamu orang tidak rugi, duit pun ada,” kata lelaki itu tanpa berselindung. Terus kepada niatnya. Baginya, masa itu emas. Projek itu tidak boleh dilengahkan lagi. Masa dan wang;semuanya terus berjalan.
“Itu mau tanya atuk aku. Bukan aku punya hal,” jawab Unggang.
“Ooh. Itu atuk kamu ya.” Lelaki itu segera memikirkan sesuatu. Dia meletakkan tangannya di bahu Unggang seolah-olah mereka lama kenal.
“Apa kata adik ambil cop ketua kampung atuk dan cop saja di atas kertas kosong? Kalau adik perlukan duit sekarang, pun saya boleh beri. Duit tu cuma duit kopi-kopi saja. Lebihnya nanti saya bayar kemudian. Alah, 5 juta dik. Banyak tu. Adik boleh pergi melancong..jalan-jalan ke luar negara..main salji…pakai baju baru…kasut baru.”
Dia membayangkan kemewahan pada Unggang. Unggang terpesona kerana dia sedar dirinya kini belum ada apa-apa. Sedangkan joran tua yang dia ada pun diperbuat daripada buluh, bola sepak dibuat sendiri daripada gulungan plastik dan kertas serta segalanya yang dia miliki tidak moden dan canggih. Dia sendiri bersimpati dengan nasibnya.
Malam itu, Unggang bertindak sendirian. Dia masih ingat lagi di dalam beg sandang kecil dan lusuh itu sudah tersimpan wang kertas setebal genggaman tangannya. Ya, dia sudah menerima ‘kerja’ daripada encik baju kemas petang tadi. Kini, tinggal dia dan cop atuknya. Sungguh kebetulan. Atuk dan nenek ke rumah saudara yang sedang mengadakan upacara miring di kampung sebelah yang mengambil masa setengah jam berjalan kaki dari rumah panjang mereka.
Dia buka laci satu persatu. Belek-belek cepat. Beg pakaian awal-awal telah menantinya di hadapan pintu. Tidak dia peduli lagi dengan apa yang dia tinggalkan selepas ini; atuk, nenek mahupun kehidupannya di rumah panjang itu. Dia hanya mahukan kemewahan, kesenangan dan masa depan di bandar. Selamat tinggal duniaku yang dulu, fikirnya tatkala tangannya tangkas mencari cop atuk. Cuaca mulai hujan di luar sana.
Dia terdengar bunyi pintu dibuka. Pada masa yang sama,cop yang dicarinya muncul di bawah timbunan buku dan fail. Terus dia berlari ke pintu belakang bersama dengan beg pakaian. Dia pergi dengan tergesa-gesa. Tidak menoleh lagi ke belakang kerana dia yakin dengan keputusannya.
*****
“Apai Wat! Tuai rumah Apai Wat!” Jerit beberapa orang dari bawah rumah panjang. Apai Wat segera pergi mendapatkan suara-suara mereka yang memanggilnya ketika jam menunjukkan pukul 10 malam itu. Dia dan isterinya baru sahaja tercari-cari Unggang sejak 15 minit yang lepas setelah melihat keadaan huru-hara di bilik mereka.
“Ada apa?”
“Kami jumpa Unggang. Dia…”
“Dia apa?” Nenek Unggang terus mencelah di sebalik jawapan yang belum ada penghujungnya. Dia risau. Risau sekali. Apa yang berlaku padanya?
“Unggang ditimpa pokok. Pokok itu jatuh ke atasnya semasa hujan ribut kuat tadi.”
Nenek terus menangis dan suara tangisan itu semakin besar ketika Apai Wat turun menuju ke tempat yang dinyatakan orang kampung yang lain.
Apai Wat terus mendapatkan Unggang yang telah terbaring kuku sebaik sahaja pokok itu dialihkan daripadanya. Air mata jantannya keluar. Satu-satunya cucu lelaki yang tinggal bersama dengannya setelah bapa dan ibu kepada cucunya itu meninggal dunia kerana kemalangan di bandar. Dia lihat di genggaman tangan Unggang terdapat cop ketua kampung miliknya. Apai Wat perhati juga beg pakaian milik Unggang tidak jauh dari Unggang ditimpa pokok. Hujan juga masih jatuh ke bumi membasahi mereka semua yang berada di situ.
“Unggang..kenapa macam ni Cu…kenapa?” Tangis Apai Wat. Daripada segala yang dia simpulkan, tahulah dia yang Unggang mahu melarikan diri bersama wang yang diberikan dan cop ketua kampung miliknya dengan tujuan penjualan tanah hutan di kampung mereka. Belum sempat Unggang berbuat demikian, dia dahulu tersungkur menyembah bumi atas kerakusannya. Dan, bumi tidak berhenti-henti hujan tatkala hutan itu sendiri menyaksikan hukuman seorang anak muda tewas pada nafsu kemewahan.