MIRI: Sarawak akan membuka pejabat perdagangan dan pelancongan di Bandar Seri Begawan dalam tahun ini setelah mendapat perkenan Sultan dan Kerajaan Brunei Darussalam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya sudah mengenal pasti bangunan ruang pejabat di Bandar Seri Begawan untuk tujuan itu.
“Kita mengadakan mesyuarat dan Sultan Brunei, Kerajaan Brunei telah meluluskan untuk kita buka pejabat perdagangan dan pelancongan di sana,” katanya berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini, malam ini.
Sebelum itu, Abang Johari baru tiba dari Bandar Seri Begawan kerana mengiringi lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei.
Abang Johari berkata, pejabat itu nanti akan membantu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala ekonomi antara Brunei dan Malaysia terutama bagi Sarawak.
Beliau berharap masyarakat Miri akan memberi kerjasama dan mencari peluang perniagaan di negara jiran itu.
“Apa yang kita bincang, untuk bekerjasama dengan Brunei dan mengenal pasti bidang yang kita boleh bekerjasama. Salah satu bidang ialah hidro.
“Ada cadangan untuk membina loji hidro antara Brunei dan Lawas sebab ia tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.
Turut dibincang katanya, ialah mempertingkatkan bidang pelancongan dan Anwar pada dasarnya bersetuju untuk memberi kebebasan kepada syarikat penerbangan – Royal Brunei Airlines (RBA) untuk membawa masuk penumpang.
Abang Johari berkata, perkara lain ialah untuk menaiktaraf Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Brunei/Malaysia termasuk di Sungai Tujoh di sini.
“Ini akan memberi pergerakan bebas untuk perdagangan dan perniagaan antara Miri dan Brunei
“Oleh itu, saya menggesa orang Miri yang ada tanah untuk memulakan pertanian pintar bagi mengeluarkan produk tani kerana Brunei bersedia memberi kerjasama.
“Mereka boleh menerokai pasaran halal, kerana Brunei ada persijilan halal dan kemudian produk ini boleh dibawa menembusi pasaran di Asia Barat.
“Saya juga mencadangkan kita mempunyai pusat di Dubai… jadi kita boleh eksport nenas selain ke India dan Pakistan bagi memperluaskan dagangan ke pasaran dunia,” katanya.
Pada 21 November tahun lalu, semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2023, Abang Johari berkata kerajaan negeri merancang untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (STATOS) dan menubuhkan pejabat sama di Brunei dan Pontianak di Indonesia, tahun ini .
Abang Johari berkata, penubuhan pejabat-pejabat ini adalah antara beberapa inisiatif di bawah teras strategik belanjawan untuk mengubah negeri menjadi ekonomi yang berdaya saing.
Oleh KD