LIMBANG: Sarawak terus diberi perhatian utama di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan gabungan wilayah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu pelbagai usaha dilakukan pemimpin nombor satu negara itu dalam memastikan tuntutan dan hak Sarawak dikembalikan seperti yang dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 ketika Perdana Menteri berkunjung ke Sarawak baru-baru ini.
Tiimbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata Perdana Menteri turut memberi kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusop mengetuai jawatankuasa untuk mengembalikan Perjanjian MA63 sebelum ini.
“Kita percaya Malaysia akan bertambah makmur di bawah kepemimpinan yang baru dengan sokongan kuat semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan ini.
“Ini membolehkan Sarawak menikmati limpahan pembangunan lebih-lebih lagi dengan kepercayaan yang diberikan kepada Timbalan Perdana MenterI, mengetuai jawatankuasa untuk mengembalikan perkara terkandung dalam MA63 itu.
“Ada beberapa perkara sudah terungkai dengan kunjungan Perdana Menteri ke Sarawak,” katanya pada kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman pemimpin masyarakat Cina di daerah Limbang semalam.
Turut sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat.
Abdul Rahman juga optimis lebih banyak lagi tuntutan akan dikembalikan dalam MA63 yang akan memberi kebaikan bukan saja di sebelah selatan Sarawak, malah meliputi utara negeri ini.
Oleh ADENG EDRUS