KUCHING: Sarawak memerlukan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang lebih besar di sempadan Aruk-Biawak untuk menampung peningkatan kenderaan awam yang bergerak antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerajaan Sarawak baru-baru ini mencadangkan perkhidmatan bas antara Kuching dan Singkawang, Indonesia.
“Justeru, dengan pertambahan kenderaan awam, kita memerlukan ICQS yang lebih besar dan selesa,” katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, Dewan Sa’ati, hari ini.
Lee berkata kemudahan ICOS di Biawak pada masa ini masih jauh daripada mencukupi berbanding keadaan ICOS di Kalimantan.
Katanya, perkara yang sama juga berlaku di sempadan Entikong-Tebedu.
Beliau berkata, pembesaran itu perlu berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sekali gus menarik lebih banyak kenderaan keluar masuk sempadan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa ICQS Sungai Tujoh di Miri, bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam, juga perlu dinaik taraf.
“Saya telah melawat (Sungai Tujoh ICQS) baru-baru ini, dan banyak kenderaan antara Miri dan Brunei terpaksa beratur selama dua hingga tiga jam kerana kekurangan kemudahan di mana kaunter dan pegawai di sempadan tidak cukup.
“Justeru, kita perlu menambah baik semua kemudahan di kompleks ICQS antara Sarawak dan Brunei serta Sarawak dan Indonesia. Justeru, kita perlu menambah baik semua kemudahan di kompleks ICQS antara Sarawak dan Brunei serta Sarawak dan Indonesia.
“Ini amat memerlukan perhatian Kerajaan Persekutuan termasuk keselamatan sempadan kita,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan awal RM1 bilion untuk menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal dan Shahrul Qaizat