KUCHING: Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bakal ditubuhkan tetap disokong kerana fungsinya menjurus kepada menjaga hak kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata suruhanjaya itu berupaya menjaga hak kanak-kanak dari segi pendidikan, kesihatan, kebajikan terutamanya dari segi perlindungan kanak-kanak.
“Di bawah kementerian kami, inilah sebenarnya aspirasi kami.
“Sekiranya kami diminta untuk bersama-sama dalam penubuhannya, kami sangat berbesar hati untuk menerima jemputan itu sebab kami merasakan kami mempunyai input yang relevan dari konteks Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching (CSSC) di sini, hari ini.
Fatimah berkata, buat masa sekarang Sarawak tidak mempunyai sebarang formula yang tertentu mengenai Suruhanjaya Kanak-Kanak itu.
“Kita lihat dan dengar dulu dari segi perbincangan, jika kita diperlukan maka kita akan beri pandangan kita,” katanya.
Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bakal ditubuhkan adalah suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di negara ini.
Ia akan berusaha menangani kes melibatkan penderaan dan masalah sosial berkait kanak-kanak.
Dalam pada itu, pengumuman Pesuruhjaya Kanak-kanak akan dilakukan selepas mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sejajar dengan seksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.
Bagi program kali ini, program ini menyantuni kumpulan rentan terpilih dari kalangan Rumah Pangsa KMC, miskin bandar dan Rumah Sri Kenangan.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
PRIHATIN…. Dato Sri Fatimah Abdullah dan tetamu kehormat yang lain hadir di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching (CSSC) dan menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina.