KUCHING: Perbezaan budaya dan kepercayaan tidak mengasingkan rakyat antara satu kaum dengan kaum yang lain di Sarawak.
Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, dalam kontek Sarawak, rakyatnya tetap hormat dan bersama-sama meraikan perayaan rakan-rakan daripada kaum lain.
“Budaya seperti inilah yang melahirkan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Kita bersyukur kerana tahun ini kita berpeluang menyambut perayaan ini dalam skala yang agak besar berbanding tiga tahun yang lepas.
“Ketika itu, kita menyambut perayaan ini secara sederhana kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Sarawak. Kita meninggalkan 2022 dengan pelbagai kenangan.
“ Kita perlu cekal dan bersedia kerana saya yakin kerajaan Sarawak akan melonjakkan ekonomi negeri ini demi pembangunan yang berterusan,” katanya dalam Perutusan Khas Tahun Baharu Cina 2023.
Dalam pada itu, beliau percaya rakyat Sarawak semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain.
“ InsyaAllah…di atas sokongan semua rakyat Sarawak, negeri kita akan kekal harmoni dan bergerak maju sebagaimana negeri-negeri lain di Malaysia.
“ Bersama-samalah kita memainkan peranan yang lebih besar ini untuk memakmurkan keharmonian kepelbagaian kaum di Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat negeri ini sama-sama mengekalkan budaya seperti ini walaupun berlainan cara hidup, budaya dan kepercayaan.
“Ia tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk kita bersatu, hormat dan menghormati antara satu sama lain kerana ia akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekali gus melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara.
” Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2023 kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN