KUCHING: Pindaan perlembagaan bagi penggunaan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak belum lagi dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pewartaan bagi istilah itu perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet memandangkan perkara ini melibatkan masalah perlembagaan, perbatasan dan Parlimen.
“Setakat ini saya hanya mengadakan perbincangan awal bersama Yang di-Pertuan Agong, dan masih belum merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan meayuarat Pelaksanaan Tindakan MA63 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini, hari ini.
Katanya, dari segi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang termeterai, status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah adalah jelas sebagai satu entiti yang berasingan.
“Dari segi pelaksanaan itu, sudah jelas bahawa ia adalah tiga entiti. Sama ada disebut negeri atau wilayah, ia tidak mengubah sikap kerajaan dan pendirian kita bahawa entitinya adalah Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.
“Tetapi pindaan mana-mana istilah ini harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu kerana ini masalah perlembagaan, perbatasan dan kemudiannya Parlimen,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN