KUCHING: Sarawak muncul sebagai negeri paling gagah di Malaysia dalam menguruskan kewangan ketika negara berdepan dengan krisis ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negeri lain patut mencontohi Sarawak dalam menguruskan kestabilan kewangan kerana Sarawak bijak menyelesaikan kemelut ekonominya dengan mencari dana melalui pelbagai sumber.
“Minggu lalu saya berada di Jakarta, Indonesia, dalam perbincangan empat mata dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi), dia sebut Sarawak kekuatannya ialah pelaburan ke Indonesia termasuk ibu kota Nusantara yang baharu. Dalam pertemuan itu, Sarawak menjadi salah satu tajuk penting dalam perbincangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.
Katanya, beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada Sarawak kerana ekonominya sangat baik.
“Ada negeri yang memohon bantuan Kerajaan Persekutuan untuk bayar gaji rakyatnya kerana mereka tidak ada sumber kewangan lain.
“Tapi Sarawak sampai ke tahap dimana projek pendidikan, kesihatan, hospital dan beberapa prasarana dikendali sendiri oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Sarawak menjadi negeri pertama dikunjungi oleh Anwar secara rasmi selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, Sarawak sangat istimewa di hatinya dan telah menganggap Abang Johari sebagai sahabatnya walaupun terdapat kecamuk politik sana sini.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Foto Herriey Naha