KUCHING: Belum ada kes peniaga menaikkan harga barangan kawalan di negeri ini menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata pihaknya akan terus memantau keadaan
“Setakat ini tiada kes melibatkan pelanggaran peniaga semasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 dikuatkuasakan dari 15 hingga 29 Januari ini.
“Pemeriksaan akan diteruskan untuk memastikan pematuhan oleh peniaga dalam menangani kenaikan harga serta menstabilkan harga barangan keperluan di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
“Harga kawalan sempena perayaan itubagi tempoh 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan, melibatkan lapan jenis barangan yang dikawal harga.
“Antaranya ialah ikan bawal putih (berat antara 200gram hingga 400gram seekor), udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), bawang putih (China) dan ubi kentang import (China).
“Selain itu, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
“Harga kawalan bagi ayam dan telur telah diwartakan melalui Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur yang telah berkuatkuasa pada 12 Oktober 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan pemeriksaan SHMMP Tahun Baru Cina 2023 di Boulevard Hypermarket, di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 4,953 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak 1 Januari lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 68 kes telah direkod dengan nilai kompaun sebanyak RM9,200 dan nilai sitaan pula berjumlah RM197,034.
Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa, KPDN Sarawak Peter J. Berinus Agang serta 10 pegawai penguatkuasa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal