MUKAH: Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu merampas 390 batang kayu balak pelbagai saiz di kawasan pinggir hutan di Selangau, petang semalam.
Balak itu tidak mempunyai cop Jabatan Hutan dan disyaki hasil aktiviti pembalakan tanpa permit yang sah.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata seorang pekerja berusia 49 tahun yang berada di lokasi sewaktu serbuan pada jam 4.30 petang, turut ditahan.
Katanya, pasukan PGA turut merampas dua jentolak, tiga jengkaut, sebuah trak dan dua lori.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan ialah RM1,927,450. Tangkapan dan semua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Muhamad Rizal berkata, ia hasil pemeriksaan dan serbuan di Batu 45, Sungai Kua, Jalan Sibu-Selangau oleh Batalion 10 PGA yang bertindak berdasarkan maklumat dan risikan.
Katanya, tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.
Oleh Henry b Siyu