KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia pada 2022 melebihi RM2 trilion untuk dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994, dengan eksport berkembang sebanyak 25 peratus kepada RM1.55 trilion.
Import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila telah melebihi RM1 trilion buat pertama kali, meningkat 31.3 peratus kepada RM1.29 trilion.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebihan dagangan meningkat 0.6 peratus kepada RM255 bilion iaitu lebihan dagangan ke-25 tahun berturut-turut sejak 1998.
“Pada 2022, perdagangan Malaysia masih mengekalkan prestasinya yang memberangsangkan dan mencatatkan satu lagi pencapaian terbaik apabila perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ini merupakan gambaran positif bahawa perdagangan negara sedang berada pada trajektori peningkatan yang didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh.
“Bagi pasaran, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun telah mencatatkan nilai tertinggi baharu,” katanya.
Perdagangan dengan ASEAN, rakan dagang yang penting dan strategik Malaysia, berkembang sebanyak 34 peratus kepada RM772 bilion berbanding tahun sebelumnya, merangkumi 27.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2022.
Tengku Zafrul berkata pertumbuhan eksport yang ketara turut direkodkan di pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan manakala eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
“Sementara itu, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lepas telah mencatatkan pertumbuhan dua digit.
“Eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit,” katanya.
Pertumbuhan eksport mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit.
Beliau berkata, kesemua barangan ini turut merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah.
“Walaupun berada dalam landskap global semasa yang mencabar, kami akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa serta eksport agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan, seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” kata Tengku Zafrul.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, bagi Disember 2022, perdagangan Malaysia kekal kukuh dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi pada bulan itu.
Perdagangan meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM236.02 bilion berbanding Disember 2021.
“Eksport naik enam peratus kepada RM131.89 bilion manakala import berkembang 12 peratus kepada RM104.13 bilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM27.76 bilion iaitu penyusutan 11.8 peratus,” katanya.
Mengenai unjuran pada 2023, MITI menjangka prestasi perdagangan Malaysia berkembang pada kadar agak perlahan, sejajar dengan unjuran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan jumlah perdagangan global berkembang satu peratus.
“Pada 2023, perdagangan Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 1.3 peratus manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat 2.2 peratus dan 0.2 peratus menurut Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Ini berikutan ketidaktentuan global disebabkan tekanan inflasi, konflik geopolitik yang berterusan, kemampuan pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran bagi penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus, gangguan rantaian bekalan dunia serta ketidakstabilan harga komoditi utama, katanya.
“Bagaimanapun, permintaan berterusan bagi barangan perkilangan khasnya barangan E&E yang didorong oleh kemajuan teknologi global dijangka terus menyokong perdagangan negara,” menurut MITI. – Bernama