KUCHING: Seramai 156 orang penerima dikurniakan pingat dan darjah kebesaran negeri Sarawak daripada Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini hari ini.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Johan Bintang Sarawak (JBS) kepada tiga penerima yang didahului oleh Ahmad Johnie Zawawi.
Ahmad Johnnie, Ahli Parlimen Igan mendahului senarai penerima diikuti Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak (SDO) Jasni Jubli dan Pakar Kardiologi Pusat Jantung Sarawak Dr. Alan Fong Yean Yip.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Johan Bintang Kenyalang (JBK) kepada Atlet Paralifting Malaysia Bonnie Bunyau Gustin.
Sementara itu, Pingat Pentadbiran Awam Johan Perkhidmatan Cemerlang (JPC) pula dikurniakan kepada seramai lima orang iaitu Sutekno Ahmad Belon, Adana Jed, Abdul Wahab Rahim, Toeiyah Tioh dan Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim.
Bagi Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dikurniakan kepada seramai enam orang iaitu Chiew Chee Yau, Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Fathi Hambali, Sebi Abang, Dr. Andrian Susin Ambud dan Jack Liam.
Selain itu, turut dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (PBS) kepada seramai 12 orang penerima yang dimulakan dengan Banges Munga.
Istiadat itu turut menyaksikan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) kepada 15 penerima serta Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) dikurniakan kepada 30 penerima.
Selain itu, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (ABS) dikurniakan kepada seramai 31 orang dan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (ABK) dikurniakan kepada seramai 24 orang.
Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat diakhiri dengan Pingat Perkhidmatan Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada 29 penerima.
Turut hadir istiadat pengurniaan berkenaan ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.