LAWAS: Pengetahuan mengenai kaedah memadam kebakaran, berjaya dipratikkan masyarakat kampung apabila berjaya mengawal kebakaran sebuah rumah di Kampung Awat-Awat hari ini.
Pada kejadian jam 7.45 pagi itu, jiran bersebelahan yang menyedari kejadian kebakaran berlaku, bertindak pantas membantu memadam api yang marak menggunakan kain basah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata kebakaran itu berpunca daripada aktiviti membakar kotak telur yang diletakkan di atas meja dapur tanpa pengawasan.
“Jiran berhampiran berjaya memadam kebakaran sepenuhnya menggunakan kaedah melemaskan (menggunakan kain basah).
“Keadah ini menghalang kemasukan udara dengan cara menutup permukaan bahan api yang terbakar dan menggunakan teknik melaparkan dengan memindahkan bahan api yang terbakar dan belum terbakar ke luar rumah sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu hanya melibatkan dua peratus meja dapur dan tidak melibatkan struktur rumah.
“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Azman berkata sepasukan anggota bomba membabitkan empat kenderaan bergegas ke lokasi kejadian, pada jarak kira-kira 34 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.45 pagi.
Oleh ADENG EDRUS