SIBU: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan khianat memecah cermin mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di salah sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah di Tanjung Latap sekitar jam 11 pagi semalam.
“Turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek telah ditahan reman selama dua hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR