KUCHING: Sarawak berhasrat mengusahakan buah-buahan tempatan seperti nanas dan terung asam dalam skala besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk merealisasikan hasrat ini, Sarawak memerlukan teknologi pintar seperti yang ada di negara Belanda.
“Sarawak mempunyai buah-buahan tempatan seperti nanas dan terung asam yang boleh diusahakan secara besar-besaran.
“Seperti yang kita tahu, buah ini bukan sahaja boleh dijual jus dan isinya, malah ia boleh dikitar semula,” katanya berucap pada majlis perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda yang pertama di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Konsortium Kluster Makanan Metropolitan Sarawak (SMFC), sebuah syarikat Sarawak-Belanda untuk membangunkan Kluster Makanan Metropolitan, yang pertama di rantau ini.
Konsep MFC yang berjaya digunakan oleh Belanda menangani isu rantaian pengeluaran makanan dan kemampanan dengan mengubah landskap luar bandar yang berdekatan dengan kawasan perbandaran kepada ekonomi kitaran.
Ia juga untuk iklim yang teguh, maju dari segi teknologi, kawasan pengeluaran makanan mampan melalui pengoptimuman agro-logistik, menghubungkan kawasan pengeluaran makanan kepada pasaran dalaman dan luaran yang memberi kesan positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
Ia terdiri daripada penyepaduan elemen utama dalam ekosistem argikultur iaitu, hortikultur atau rumah hijau, ternakan, pengeluaran makanan haiwan, akuakultur, pusat pemprosesan, pusat penyatuan dan pengumpulan antara lain.
Oleh NUR AIN OTSMAN