PUTRAJAYA: Hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan ekonomi negara masih belum kukuh dan ia turut berkait dengan perkembangan antarabangsa.
“Ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait dengan perkembangan antarabangsa, baik soal konflik Rusia-Ukraine atau pasca Covid-19 yang belum dapat menzahirkan kekuatan ekonomi dunia.
“Kalau ikut unjuran ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ia terus menurun. Cabaran (untuk kerajaan) adalah hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trilion. Jika termasuk liabiliti, ia sudah mencecah RM1.5 trilion,” katanya pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini, hari ini.
Justeru, katanya, kerajaan tidak akan mengambil pendekatan ‘business as usual’ dan akan mengambil pendekatan yang berbeza untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
“Sebab itu, kita beri angka yang sebenar. (Bayaran) Khidmat hutang 2023 adalah sebanyak RM45 bilion iaitu 15 peratus daripada hasil negara dan ini juga maksimum yang mampu ditangani oleh negara.
“Kita tidak fikir kita boleh mendepani 2023 dengan keadaan yang selesa. Sebab itu, kalau ada budaya selesa, ia tidak akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang diharapkan,” kata Perdana Menteri.
– Bernama