KUCHING: Kerajaan Belanda bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk merevolusikan industri pertanian di negeri ini.
Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner (gambar) berkata, kerjasama itu adalah sebagai matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsep kluster makanan metropolitan dan pendekatan dengan tumpuan kepada inovasi sistem pertanian makanan dan transformasi digital.
“Inovasi dan kerjasama antarabangsa sentiasa menjadi agenda utama kerajaan Belanda. Untuk mengukuhkan lagi industri teras kami di kedudukan antarabangsa, Belanda menumpukan pada beberapa teras utama sektor inovatif.
“Ia merangkumi bahan hortikultur dan pembiakan, makanan pertanian, air dan teknologi tinggi. Kerjasama antara kerajaan ini memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi Belanda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majls perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda yang pertama di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis ini dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Werner berkata walaupun Belanda sebuah negara kecil, ia adalah pengeksport kedua terbesar barangan pertanian di dunia, selepas Amerika Syarikat.
“Dengan tanah yang terhad dan iklim hujan, Belanda telah belajar menggunakan tanah dan membangunkan sistem pengeluaran dengan cara yang cekap dan inovatif untuk memaksimumkan hasil.
“Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan institut ilmu memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi negara kami.
“Ketiga-tiga pihak berkepentingan bekerja rapat dalam dasar kerajaan dalam bidang seperti pengurusan iklim dan air, mengenai pelan hala tuju inovasi strategik untuk robotik, data besar dan banyak topik lain dalam pertanian pintar yang menyelesaikan cabaran keselamatan makanan,” katanya.
Oleh itu, hasil industri pertanian di Belanda menjana sumbangan besar iaitu 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.
Belanda juga penjualan sejumlah besar barangan pertanian ke pasaran Eropah dan antarabangsa. Pada 2021, sektor pertanian Belanda mencapai rekod eksport baharu sebanyak 104.7 bilion euro.
“Belanda dalam beberapa dekad yang lalu bertukar menjadi persimpangan sebenar hubungan perdagangan Eropah dan perkongsian pengetahuan antara timur dan barat, utara dan selatan.
“Hari ini, pakar meletakkan pertanian dan hortikultur Belanda sebagai salah satu yang paling produktif di dunia. Pengeluaran susu bagi setiap lembu dan pertanian dan hortikultur, produktiviti setiap jam manusia adalah antara yang paling tinggi diketahui.
“Dengan pengetahuan yang ada, kami ingin berkongsi maklumat yang telah kami kumpulkan untuk memastikan pengeluaran makanan yang mampan adalah usaha global. Dengan hubungan Belanda-Sarawak, saya berharap ini dapat memberi inspirasi kepada potensi perdagangan dan pertukaran pengetahuan di kalangan kita dan menjadi pelan tindakan untuk pertumbuhan dan kemakmuran untuk semua,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Belanda bersedia untuk menjadi rakan kongsi dalam perjalanan ke arah mencapai matlamat pembangunan sistem keselamatan makanan mampan.
Justeru, Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda yang pertama ini menjadi pemangkin kepada kerjasama baharu dan mengukuhkan perkongsian di pelbagai peringkat merentasi sektor lain.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Foto UKAS