KUCHING: Terma status wilayah bagi Sarawak yang sudah diiktiraf secara rasmi, harus diperincikan bagi memastikan hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak dalam masa terdekat dijangka mengadakan perbincangan lanjut mengenai terma itu atau permohonan Sarawak untuk mengembalikan hak termaktub dalam MA63.
“Perjuangan pemimpin Sarawak untuk menegakkan MA63 dibuktikan dengan pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai sebuah wilayah.
“Kita telah menukar terma Ketua Menteri kepada Premier untuk membezakan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Dan hari ini terbukti apa yang telah kita lakukan dengan penukaran (Ketua Menteri kepada Premier) menunjukkan kita adalah satu wilayah yang lain dan telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Kita amat gembira dengan kenyataan itu tetapi ia tidak akan berhenti di sini dan beberapa perkara perlu digerakkan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir sebagai panel pada program The Inisiatif Sarawak: Forum Belia Borneo: Ejen Perubahan Malaysia Baharu di sebuah hotel, di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya, wilayah dan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak.
Status wilayah itu dikuatkuasa apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan itu, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal