DALAT: Seramai 86 orang yang memerlukan, hari ini menerima angpau dan hamper menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Penerima bantuan bulanan kebajikan itu menerima angpau RM100 dan hamper bernilai RM80 setiap seorang yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita,Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2023 itu diadakan di Kompleks Kebajikan Dalat yang turut dihadiri ADUN Tellian, Royston Valentine.
Pada majlis itu, Fatimah juga menyampaikan bantuan Tabung Bantuan Segera (TBS) kepada dua penerima, disusuli penyerahan cek untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Fatimah berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu penerima sebagai persiapan bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
Antara yang hadir pada majlis tahunan itu ialah Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh, Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Kadir Jamil, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Daniel Thiong, Temenggong Hendi Suhai dan ketua-ketua masyarakat.
Oleh Henry B Siyu