SIBU: Tindakan seorang lelaki dan wanita melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga membahayakan nyawa anggota yang bertugas mengundang padah, apabila mereka ditahan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek lelaki tempatan berumur 22 tahun dan suspek wanita berumur 18 tahun berjaya ditahan di Jalan Quary, semalam.
“Anggota polis yang membuat rondaan di kawasan parkir Jalan Lau King Howe sekitar jam 9.15 malam, cuba membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Inova.
“Namun, semasa memperkenalkan diri sebagai polis, secara tiba-tiba pemandu kenderaan itu mengundurkan kenderaan beberapa kali sehingga melanggar kenderaan polis,” katanya satu kenyataan, hari ini.
Katanya, polis mengejar kenderaan yang dinaiki suspek yang turut melanggar lampu isyarat dan sebuah kenderaan orang awam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN