KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Komersial, menjalinkan kerjasama dengan DatumCorp International Sdn Bhd (DCI) untuk memasarkan barangan buatan Sarawak serta peranti rumah pintar di Datum Jelatek, pusat beli-belah milik DCI di Kuala Lumpur.
Pengurus Besar CENTEXS Komersial, Shahren Yusri berkata, DCI iaitu anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menyatakan minat mereka sekali gus menawarkan platform untuk memasarkan produk-produk kendalian CENTEXS.
“Dua jenis kategori produk akan dipasarkan iaitu barangan buatan Sarawak serta peranti rumah pintar.
“Kita akan memasarkan produk fesyen, kraf tangan dan manik. Selain itu, turut dipasarkan juga ialah peranti rumah pintar.
“Kesemua produk ini telah mendapat perhatian pihak DCI memandangkan sekarang mereka mempunyai pangsapuri di Datum Jelatek yang mana mereka boleh menggunakan produk ini di setiap unit.
“Ini selaras dengan hala tuju kerajaan Sarawak iaitu mempromosikan ekonomi digital,”katanya dalam sidang media di Juma’ani Pavilion, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DCI Mohd Azmil Abd Shukor berkata, Datum Jelatek diyakini menjadi lokasi yang sangat sesuai untuk mempromosikan barangan hasil warisan Sarawak memandangkan di Kuala Lumpur sahaja mempunyai lebih daripada 150,000 anak Sarawak.
“Selain anak Sarawak boleh datang berkunjung ke situ, kita juga ada (pejabat) kedutaan di sekeliling kawasan, masyarakat setempat termasuk pelancong.
“Inisiatif inj sejajar dengan slogan DCI iaitu ‘Bridging The Community’ (merapatkan komuniti),”katanya.
Mengulas mengenai produk peranti rumah pintar, Mohd Azmil berkata teknologi seumpamanya amat sesuai untuk digunakan di pangsapuri mewah Datum Jelatek bagi menambah nilai dan standard sedia ada sekali gus membantu usahawan Sarawak dan graduan-graduan CENTEXS memperkasakan kemahiran serta perkhidmatan mereka.
“Bila kita tengok dari segi teknologi digital, kita ada pangsapuri mewah yang bergantung kepada teknologi dan kita mendapati bahawa CENTEXS Komersial menyediakan produk digital jadi mengapa kita tidak gunakan teknologi ini untuk kepentingan bersama?
“Walaupun kita ada sistem telefon pintar yang ada menyediakan keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan lain-lain, tapi apa yang kita dapati adalah untuk di dalam unit pangsapuri itu sendiri, kita memang perlukan peranti rumah pintar.
“Kita tidak perlu untuk pecahkan dinding atau mengubahsuai sana sini untuk menambah infrastruktur dalam unit itu sendiri kerana peranti rumah pintar ini adalah sistem ‘Plug and Play (PnP) dan ia sangat canggih.
“Maknanya anda hanya perlu duduk sahaja, memggunakan suara atau gerakan untuk membuka pintu, lampu, penyaman udara dan banyak lagi kemudahan di pangsapuri yang moden dan mewah itu, tambahan kita kena seiring dgn teknologi semasa,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN