Oleh Laila Ahniaw
MAK JIAH merenung ke luar jendela. Belum pun pukul 6 petang, bunyi dentuman mercun dan meriam buluh sudah pun rancak berbunyi. Begitulah suasana ambang tahun baru di Kampung Tuo setiap tahun. Semangat sungguh penduduk kampung menyambut tahun baru. Hatinya dipagut sayu, setahun yang lepas dia kehilangan suami beberapa hari sebelum menginjak ke tahun baru kerana sakit tua. Bagi Mak Jiah, permulaan tahun baru itu biasa saja. Ia hanya peralihan tahun ini ke tahun berikutnya. Selebihnya, semuanya sama sahaja. Rutin hariannya juga tetap sama walaupun beralih ke tahun baru.
Namun begitu dia tetap bersyukur kerana dengan adanya sambutan tahun baru anak-anak dan cucunya pulang berkumpul di rumah. Mak Jiah juga mengakui dia seronok melihat percikkan mercun terutama ketika waktu malam. Seronok melihat senyuman di wajah cucu-cucunya yang melompat keriangan setiap kali melihat percikan itu menari di udara. Namun yang Mak Jiah tidak gemari adalah bunyi dentumannya yang tiba-tiba seringkali membuatkan dia terperanjat. Petang ini sahaja sudah berapa kali barang yang dipegangnya jatuh ke lantai. Beberapa kali juga dia menarik nafas dalam cuba menenangkan jantungnya yang dikejutkan oleh dentuman-dentuman itu.
Pantas Mak Jiah menarik cermin tingkap dan langsir menutupi seluruh rumahnya. Seolah membuat hadangan kalis bunyi. Kalau boleh dia tidak ingin bunyi dentuman mercun dan meriam buluh yang seperti bunyi bom perang itu menembusi ruang rumahnya malam ini. Bimbang jantung tuanya gagal bertahan jika diserang bertalu-talu.
“Awalnya nenek tutup tingkap.” Komen Juju, cucunya yang baru berusia 4 tahun itu. “Juju nak tengok bunga api.” Renggeknya lagi.
Mak Jiah berhenti menutup cermin tingkap itu, tersenyum lembut memandang cucunya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya.
“Juju, nanti ikut ayah pergi padang ya kita tengok orang main bunga api kat sana.” Celah Ucik, cuba memujuk anaknya.
Juju melompat kegembiraan mendengar janji ayahnya itu. Pantas dia berlari kearah sepupu-sepupunya yang sedang leka mencantum puzzle di ruang tamu rumah. Tidak lama kemudian kedengaran masing-masing menjerit suka sambil melompat keriangan. ‘Pasti Juju sudah memberitahu janji ayahnya untuk membawa mereka melihat bunga api di padang kampung malam nanti’ detik hati Mak Jiah. Mak Jiah tersenyum senang melihat keletah cucu-cucunya itu.
“Mak sihat tak ni?” Soal Ucik sambil memandang ibunya. Bukan dia tidak tahu, ibunya ada penyakit darah tinggi. Mudah sangat terkejut, jadi dia faham kenapa ibunya beria menutup cermin tingkap rumah mereka lebih awal hari ini.
“Mak ok.“ Jawab Mak Jiah pendek. “Mak cuma tak faham. Lain macam betul cara budak-budak zaman sekarang sambut tahun baru. Beria benar tembak langit tu tujuh hari tujuh malam.” Bebel Mak Jiah meluahkan rasa hati.
“Biasalah mak, orang kaya tak tahu nak buat apa dah dengan duit mereka.” Balas Ucik membuatkan bibir tua Mak Jiah mencebik.
“Kalau tak ada orang kampung ni yang baru lepas meninggal tak apalah juga.” Tambah Mak Jiah lagi. Mengenang hanya dua hari yang lepas Nek Mi, wanita tertua di Kampung Tuo menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sama juga situasinya, Kampung Tuo tetap meriah dengan bunyi mercun dan bunga api. Seolah-olah tidak menghormati keluarga yang sedang meratapi pemergian insan yang tersayang.
“Entahlah mak, dunia dah makin tua. Manusia semakin tak beradab.” Komen Ucik ringkas.
“Kamu pun kalau pergi padang nanti, tengok orang main sahaja. Jangan gatal ikut main pula.” Pesan Mak Jiah. Tegas. Membuatkan Ucik tersipu-sipu di depannya. Malu masih ditegur ibunya dalam usia sebegitu.
“Yea mak, Ucik tak mainlah.” Janji Ucik sambil membuat tabik hormat pada ibunya apabila melihat wanita itu menghadiahkan renungan tajam kepadanya. Bukan Mak Jiah tidak tahu Ucik juga antara pemain meriam buluh tegar di zaman muda remajanya. Tapi dulu lain. Bunyi mercun dan meriam buluh hanya dimainkan pada hari dan jam tertentu sahaja. Tepat pada jam 12 tengah malam sehingga paling lewat pun pukul 1 pagi untuk sambutan perayaan dan tahun baru. Jadi jantungnya tidaklah terlalu terkejut kerana dia sudah tahu bila dia perlu menyiapkan diri mendengar dentuman tersebut. Jika ada penduduk yang baru meninggal ataupun sedang gering, bunyi meriam atau mercun pasti tidak akan kedengaran. Pendek kata, suatu ketika penduduk kampung saling memahami dan menghormati.
Cara sambutan orang-orang muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini pula cukup berbeza. Bunyi dentuman mengalahkan sambutan perkahwinan golongan bangsawan zaman dulu-dulu seperti yang digambarkan dalam novel atau drama lama. Kononnya sambutan diadakan tujuh hari tujuh malam bagi meraikan pasangan mempelai. Mak Jiah tidak tahu apalah yang diraikan sangat sehingga berlebihan sekali sambutan setiap perayaan dan tahun baru golongan muda masa kini.
“Ayam pansuh dah masak?” Soal Mak Jiah mengalihkan topik perbualan.
“Jangan risaulah mak. Jep tengah jaga api tu. Kejap lagi makan sedaplah kita.” Jawab Ucik berseloroh. “Mak rehat je harini. Biar anak-anak mak jadi chef.” Tambah Ucik lagi membuahkan senyuman di bibir Mak Jiah.
Bukan selalu dapat merasai air tangan anak-ananya. Maklumlah semua sudah berkeluarga. Tidak lagi tinggal serumah. Cuma keluarga anak sulungnya, Jiah sahaja yang masih tinggal bersamanya. Jadi kesempatan berkumpul seperti ini amatlah Mak Jiah hargai.
“Tengok-tengokkan ayam panggang tu, lama sangat panggang nanti kering pula. Tak sedap.” Pesan Mak Jiah, sambil memerhatikan anak lelakinya Jep yang sedang mengipas-ngipas api.
“Iya mak. Mak duduk saja. Biar anak menantu uruskan semuanya ya.” Ucap Ucik cuba melegakan hati ibunya.
Mak Jiah mengangguk sendiri sebelum melangkah ke ruang tamu. Memerhatikan cucu-cucnya bermain dengan senyuman lebar. Sebuah kereta proton saga berwarna hitam yang berhenti betul-betul di depan rumahnya menarik perhatian Mak Jiah. Perlahan-lahan dia melangkah ke muka pintu ingin melihat siapakah pemilik kereta itu. Mak Jiah tersenyum kecil apabila melihat Joni keluar dari dalamnya.
“Ucik ada mak cik.” Soal Joni setelah melihat Mak Jiah. Mak Jiah mengangguk sebelum memanggil Ucik. Ucik tersenyum melihat teman lamanya yang ceria melambai padanya. Ucik mengatur langkah kearahnya dan menyapanya mesra.
“Malam nanti jadi tak?” Soal Joni apabila Ucik sudah berada di depannya.
“Jadi. Tapi aku tak ikut mainlah. Bawa budak-budak je pergi tengok orang main di padang.” Balas Ucik.
“Alamak. Semenjak jadi bapa budak ni kau dah tak seronoklah Ucik.” Komen Joni sambil tersengih.
“Tak bolehlah Jon. Mak aku bukannya sihat sangat. Ni budak-budak kampung main meriam buluh seharian ni pun dia terkejut. Takut pula jadi apa-apa nanti.” Jelas Ucik sambil melirik pada Mak Jiah. Seolah takut ibunya mendengar perbualan mereka itu.
“Alah, bukan kita main dekat sini. Aku ada port baru, baik punya.” Pancing Joni lagi. Cuba mengoda Ucik yang sememangnya kaki mercun juga ketika remaja dulu. “Bukannya selalu pun, hari ni je. Aku ada banyak stok ni.” Tambah Joni lagi.
“Tengoklah nanti macam mana. Tapi aku tak janji.” Balas Ucik. Tidak tahu cara menolak pelawaan Joni.
“Kau ada bunga api tak?” Soalnya pula. Pasti anak dan anak buahnya gembira jika dapat bermain bunga api nanti.
“Ada. Apalah kau ni, apa barang main bunga api.” Perli Joni sambil ketawa.
Ucik hanya menggeleng mendengar sindiran Joni itu. Mereka sudah biasa bergurau kasar seperti itu, jadi dia tidak mengambil hati mendengarnya. Dia melihat Joni membuka bonet kereta dan mengeluarkan bunga api dan menyerahkan padanya.
“Berapa?” Soal Ucik sambil menyeluk saku seluarnya.
“Kau main jelah. Anggap ni hadiah Tahun Baru daripada aku.” Jawab Joni.
“Haha..kalau aku tahu kau nak bagi hadiah Tahun Baru tadi, benda lain aku minta.” Balas Ucik menyakat Joni.
“Tak payah mimpilah kawan.” Balas Joni sambil ketawa besar. “Aku balik dululah, kalau kau nak ikut malam ni bagitau je. Aku share location.” Pesannya kemudian sebelum memandu pergi.
Ucik memandang kereta Joni berlalu sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Walaupun sudah berkeluarga, namun Joni masih tidak berubah. Masih dengan tabiat lamanya.
“Joni cakap apa?” Soal Mak Jiah tiba-tiba membuatkan Ucik mengelus-elus dadanya. Terkejut tiba-tiba disergah ibunya yang sedari tadi tidak putus memerhatikan mereka dengan wajah curiga.
“Dia ajak Ucik main mercun malam ni.” Jawab Ucik jujur. “Mak jangan risau, Ucik dah bagitahu dia yang Ucik tak boleh ikut tadi.” Tambah Ucik sebelum Mak Jiah sempat membuka mulut dan berleter padanya.
“Mak pegang janji kamu ni Cik.” Ucap Mak Jiah sambil merenung Ucik tajam. Ingin Ucik tahu betapa seriusnya dia.
“Ia mak, Ucik janji.” Janji Ucik sambil tersenyum pada ibunya yang perlahan-lahan tersenyum kepadanya.
Malam itu selesai menikmati hidangan makan malam bersama keluarganya, dengan perut kenyang Mak Jiah terus ke ruang tamu. Berehat sebentar sebelum kemudiannya ke bilik untuk tidur. Bunyi kuat dentuman meriam buluh berselang seli dengan bunyi mercun sekali sekala menembusi gegendang telinganya. Menyukarkan dia melelapkan mata. Rumahnya tidak lagi riuh dengan suara anak dan cucu-cucunya. Seperti yang dijanjikan Ucik membawa mereka ke padang kampung sebentar tadi untuk menyaksikan pesta mercun. Awal mereka keluar memandangkan anak-anak kecil itu sudah terbiasa tidur awal. Jadi awal pergi awallah balik seperti kata Ucik tadi.
Hanya Jiah yang tidak ikut ke padang. Tak minat katanya, tapi Mak Jiah tahu anak sulungnya itu sengaja duduk di rumah kerana ingin menemaninya. Bimbang akan kesihatannya yang kurang baik sejak kebelakangan ini. Mak Jiah tidak tahu bila dia terlelap namun bila tersedar dia tidak lagi mendengar bunyi mercun. Dia menyelak langsir biliknya dan melihat mentari pagi mula memasuki ruang biliknya. ‘Sudah pagi’, detik hatinya. Ketika keluar dari biliknya untuk ke bilik air, Mak Jiah terkejut melihat anak-anaknya Jep dan Ucik sudah pun duduk di ruang tamu.
“Awal betul kamu berdua bangun hari ni.” Tegur Mak Jiah. “Tak mengantuk ke? Mak tak sedar pun pukul berapa kamu balik rumah malam tadi. Nyenyak betul mak tidur, macam tak dengar pula bunyi meriam buluhnya malam tadi. Biasa sampai ke pagi tak berhenti.” Tambah Mak Jiah kepada kedua mereka yang hanya saling berpandangan di depannya.
“Pak Joni meninggal malam tadi mak. Dalam pukul 2 pagi ambulan datang ambil. Dengarnya meninggal dalam perjalanan ke hospital.” Terang Jep. Terkejut besar Mak Jiah mendengarnya.
“Sakit apa?” Soal Mak Jiah ingin tahu.
“Mungkin terkejut dengar bunyi mercun. Joni cakap dia dan kawan-kawannya main mercun di kebun belakang rumah mereka. Katanya, bapanya sihat sahaja semalam. Itu yang kami rasa mungkin terkejut dengar bunyi mercun.” Tambah Ucik yang berwajah sugul dihadapannya.
“ Benda macam nilah yang mak risaukan. Sebab tu mak tak pernah suka kamu ikut main.” Komen Mak Jiah sambil menggeleng kepala. “Kamu tak ikut semalam kan?” Soal Mak Jiah, bulat matanya merenung Ucik.
“Tak mak. Ucik kan dah janji.” Terang Ucik, merenung tepat ke mata ibunya, agar ibunya tahu dia berkata jujur.
“Habis tu macam mana kamu tahu Joni main mercun kat situ?” Soal Mak Jiah curiga.
“Joni bagitahu dalam group WhatsApp kampung pagi tadi yang bapanya meninggal. Jadi Ucik telefon dia. Tu yang dia bagitahu apa yang terjadi. Katanya dia menyesal main mercun di kebun belakang rumah mereka. Dia tak tahu bapanya juga ada sejarah penyakit jantung. Mungkin bapanya terkejut dengar bunyi mercun dan meriam buluh mereka yang terlalu kuat.” Ucik menerangkan duduk perkara sebenar kepada Mak Jiah.
Mak Jiah menggeleng mendengarnya, tumpang simpati mendengar apa yang terjadi. ‘Menyesal pun tak berguna, benda dah terjadi.’ Detik hati Mak Jiah bermonolog sendiri.
“Harap-harap apa yang terjadi ni akan dijadikan iktibar oleh budak-budak kampung ni.” Ucapnya lembut. “Kamu tak ke rumah Joni?” Soalnya pula.
“Kejap lagi mak.” Ucap keduanya serentak
“Sampaikan salam takziah mak kepada keluarganya. Mungkin petang ni baru mak ke sana.” Pesan Mak Jiah sebelum berlalu ke bilik air untuk menyempurnakan rutin paginya.