KRISTIAN telah dibawa masuk sejak awal kedatangan Rajah Brooke ke Sarawak. Banyak organisasi pertubuhan Kristian telah menjalankan aktiviti mereka apabila James Brooke mendirikan kerajaan di Sarawak. Kehadiran agama ini memulakan tradisi perayaan Hari Krismas.
Setiap tahun di Sarawak sejak kedatangan Brooke perayaan ini diraikan oleh penganutnya terutama pegawai Barat dalam pentadbiran Brooke. Hari Krismas diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak.
Sesungguhnya pengalaman pegawai Barat ini dalam meraikan perayaan ini agak berbeza dengan tempat mereka di England atau di Eropah. Ketiadaan salji yang biasa ada masa Krismas tidak mematikan semangat pegawai Barat ini untuk mengadakan dan meraikan juga perayaan ini di Sarawak.
Meraikan di sekolah
Dalam hal ini peranan golongan paderi penting dalam menghidupkan perayaan ini. Mereka ini sudah berada di Sarawak sejak 1840-an dan mengerakkan sekolah mubaligh di Kuching. Oleh itu, apabila tiba Krismas, satu majlis untuk meraikannya diadakan.
Misalnya pada 1886, perayaan ini melibatkan usaha untuk memeriahkan hari tersebut dengan menghiasi gereja dan pelbagai jenis bunga seperti orkib. Sekolah pula menjadi tempat majlis ini diadakan.
Pada hari berkenaan, pelajar asrama lelaki dan perempuan dari sekolah mubaligh Kuching diraikan dengan pameran Magic Lantern Views pada sebelah malam krismas. Pameran ini diadakan juga untuk ahli Chinese Bible Class. Selepas pameran itu, peserta ini dihadiahkan dengan gula-gula dan kek.
Perayaan ini berterusan pada 28 Disember 1886 dengan mendirikan dan menghiasi pokok Krismas. Sementara itu, pelbagai hiasan seperti mainan dan pelbagai lagi dihadiahkan yang disumbangkan oleh seorang penduduk dari Singapura bernama Cik Lange. Objek utama diletakkan pada pokok krismas ini ialah patung Old Father Christmas.
Satu jamuan teh menjadi salah satu acara pada majlis seumpamanya. Tetamu yang datang terdiri daripada orang Barat serta anak-anak mereka, beberapa orang tetamu berbangsa Cina, dan pengajar dari sekolah perempuan. Pada majlis itu juga Bishop George Frederik Hose memberi ucapan. Selepas itu Puan Hose iaitu isteri Bishop dibantu oleh residen untuk memberi hadiah.
Selepas sesi itu, Bishop mengucap terima kasih kepada penyumbang hadiah. Majlis ini ditamatkan dengan pemberian buah orange dan kek kepada kanak-kanak yang meninggalkan majlis ini.
Hari Krismas ini disambung pula pada 30 Disember 1886. Pada hari itu pula, satu majlis alumni pelajar sekolah mubaligh bersama pengajar mereka diadakan. Majlis ini dihadiri oleh 21 bekas pelajar sekolah mubaligh. Jamuan pula terdiri daripada pelbagai jenis juadah makan termasuk sup, ayam, kari dan puding serta beberapa pencuci mulut. Ucapan juga diberi oleh Bishop dengan mengucap terima kasih kepada Raja Sarawak yang membantu pembangunan sekolah itu. Mereka juga mendoakan kesejahteraan kesihatan pada raja.
Seterusnya tetamu dibawa ke bilik lukisan oleh Puan Hose dan Cik Dunmall untuk acara hiburan sepanjang malam. Sebelum beransur pulang pula bekas pelajar ini yang diwakili oleh Ah Lan dari Borneo Company telah mengucap terima kasih kepada bishop yang menjemput mereka pada majlis malam Krismas.
Rani Sarawak
Rani Sarawak iaitu Margaret Brooke juga pernah meraikan kanak-kanak sekolah sempena perayaan Hari Krismas. Beliau datang ke sekolah mubaligh pada 28 Disember 1880 untuk bersama-sama dengan kanak-kanak sekolah mubaligh di Kuching. Majlis jamuan yang diadakan pada 7.00 malam itu juga terdapat sepohon pokok Kristmas.
Kemuncak kepada majlis itu adalah pemberian hadiah kepada kanak-kanak sekolah. Apa yang menariknya adalah setiap penerima akan mendapat dua hingga tiga hadiah daripada Rani Sarawak. Jemputan pada majlis itu juga terdiri daripada penduduk Barat di Kuching. Mereka juga turut bergembira sepanjang malam.
Perhimpunan
Suasana hari Krismas yang diraikan oleh pegawai barat ini berbeza-beza mengikut masa dan tempat. Kebiasannya disambut secara biasa dan sederhana. Hal ini boleh dilihat apabila Sir Percy Cunynghame iaitu Residen Bahagian Pertama meraikan perayaan ini dengan pegawai-pegawai Barat di luar stesen. Pada 25 Disember 1906, beliau menjemput seramai 27 pegawai ini di Rumah Rehat Pegawai luar stesen untuk bersama-sama meraikan hari tersebut.
Kebiasaanya, hari Krismas ini disediakan satu jamuan makan. Pada jamuan itu, terdapat satu menu istimewa yang dikenali oleh mereka sebagai Snipe. Hidangan ini hasil pemburuan Cunynghame dan pembantunya. Ia disimpan dalam bilik ais untuk menunggu untuk dihidangkan selepas dimasak. Selain itu meja makan pada hari tersebut dihiasi dengan pelbagai makanan lazat serta biskut yang pelbagai saiz dan corak. Selepas makan malam itu acara selanjutnya adalah mendengar muzik dan majlis tari menari.
Bunga api
Perayaan Hari Krismas di Sibu pada 1906 disambut meriah walaupun dalam keadaan cuaca kurang baik. Sebuah jawatankuasa diadakan untuk mengendalikan perayaan ini. Perayaan ini berlanjutan sehingga malam 27 Disember 1906 apabila diadakan pertunjukan bunga api.
Pertunjukan bunga api ini memeriahkan keadaan malam dan disambut sorakan kekaguman dan kegembiraan daripada orang Dayak yang hadir dan menyaksikannya.
Selain pertunjukan bunga api diadakan juga regata. Regata ini juga mendapat sambutan daripada peminat lumba perahu. Pelbagai kategori pertandingan perlumbaan perahu diadakan. Yang menarik mereka menyertai perlumbaan ini ialah hadiah berupa wang tunai telah disediakan.
Pada 29 Disember 1906 pula, diadakan satu jamuan makan diadakan di kediaman residen yang dihadiri 164. Daripada jumlah itu hanya 16 orang sahaja pegawai Barat yang hadir, selebihnya penduduk tempatan. Seterusnya acara perlawanan bola diadakan. Seramai enam pasukan bola terdiri daripada pelbagai kaum menyertai perlawanan itu.
Pertandingan akhir dijalankan pada tahun baharu dengan pasukan Cut School menewaskan Mukah dengan dua gol berbalas satu.
Sukan
Pihak syarikat barat juga terlibat dalam meraikan lagi perayaan Hari Krismas ini seperti yang digerakkan oleh Borneo Company di Bau. Syarikat ini mengatur pelbagai acara sambutan pada Hari Krismas pada 1880. Mereka telah menjemput pegawai Barat di Kuching untuk majlis sambutan itu di Bau.
Rumah syarikat di Bau telah di ubah suai untuk menampung jemputan yang akan datang. Sebuah bilik ruang tamu dibina dengan hiasan mala hijau berserta tanglung Cina. Sebuah pintu gerbang dibina di pengkalan untuk menyambut tetamu.
Acara sukan lumba perahu diadakan berserta dengan acara menangkap itik. Seterusnya acara tarik tali menjadi tumpuan pengunjung pada majlis berkenaan.
Begitulah serba sedikit keadaan sambutan Hari Krismas yang digerakan oleh orang Barat pada zaman Brooke. Sambutan itu dilakukan dengan pelbagai cara yang juga memasukkan elemen tempatan dan penyertaan orang tempatan.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.