BULAN ini juga mengimbau peristiwa Perang Dunia Kedua yang menjadi titik hitam dalam sejarah dunia. Perang Dunia Kedua meletus di Pasifik pada 7 Disember 1941 apabila tentera udara Jepun menyerang secara mengejut ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbor.
Serangan ini membawa reaksi balas Amerika Syarikat untuk mengisytiharkan perang ke atas Jepun. Perang ini merebak dari Lautan Pasifik ke China hingga ke Asia Tenggara.
Sarawak juga tidak terkecuali daripada serangan Jepun. Miri menjadi sasaran pertama tentera udara Jepun. Pada 14 Disember 1941, tentera British berundur dari Miri selepas memusnahkan kemudahan pengeluaran minyak di Miri. Usaha ini dilakukan untuk menafikan bekalan minyak kepada tentera Jepun. Operasi penafian ini juga melibatkan tiga kapal yang mengangkut tentera Punjabi dan Ranger untuk berundur dari Miri.
Pertempuran perairan Mukah
Salah satu kapal yang berundur ini adalah milik Strait Steamship Company iaitu Lipis. Kapal seberat 500 tan ini membawa satu kompeni tentera Punjabi ke Miri untuk memusnahkan kemudahan loji minyak di Miri.
Selesai operasi penafian itu, Lipis berundur ke Kuching bersama tentera Punjabi. Lipis ditemani pula sebuah lagi kapal yang dinamakan H.H.M.Y. Maimuna. Maimuna pula membawa 200 tentera Ranger. Semasa berundur kedua-dua kapal ini dikesan oleh sebuah kapal terbang pengebom dua enjin Jepun di perairan Mukah.
Kapal terbang Jepun itu telah menggugurkan lima bom tetapi gagal mengena kedua-dua kapal itu tetapi mula terbang rendah untuk melepaskan tembakan mesingan ke atas Lipis. Kapal Lipis membalas dengan menggunakan tembakan dari mariam, mesingan dan senapang Bren.
Serangan balas dari Kapal Lipis ini menyebakan kapal terbang pengebom dua enjin Jepun melarikan diri. Pihak British menyangka bahawa kapal terbang ini mungkin terkena tembakan dari Kapal Lipis. Pertempuran ini membawa kepada kematian pegawai kanan mereka iaitu Mejar Slater.
Selain itu tiga tentera Punjabi di Kapal Lipis turut terkorban. Dua puluh dua orang pula mengalami kecederaan. Hanya Maimuna berjaya melepaskan diri daripada serangan.
Pada 15 Disember 1941 kedua-dua kapal ini berjaya sampai ke Pending tanpa serangan seterusnnya. Namun demikian Kapal Lipis dalam keadaan berjaga-jaga kerana menjangka akan diserang lagi oleh tentera Jepun. Mesingan disediakan untuk kebarangkalian itu.
SERANGAN UDARA JEPUN
Keesokan harinya berlaku lagi satu serangan daripada tentera udara Jepun, dan kali ini S. S. Shinai pula diserang di Muara Tebas. Kapal itu datang dari Miri membawa saki baki anggota keselamatan dari Miri, dan serangan tersebut tidak membawa sebarang kemalangan jiwa.
Namun tentera Jepun menyerang semula kapal itu pada keesokan harinya. Miri pada 18 Disember 1941 telah ditawan oleh tentera Jepun. Warga Barat pula telah ditangkap dan ditahan di Rumah Rehat Lutong.
Kuching pula menerima serangan udara pada 19 Disember 1941. Sebanyak 17 kapal pengebom telah berlegar di ruang udara Kuching. Kemudian mereka berpecah kepada dua arah berbeza.
Kumpulan pertama menuju ke landasan mendarat di Batu Tujuh. Kumpulan kedua pula ke selatan bandar Kuching. Dikatakan sebanyak 19 biji bom telah digugurkan oleh angkatan udara Jepun. Hal ini membawa kepada kerosakan bangunan Borneo Company dan tempat pembuangan minyak. Angka yang terkorban pula sekitar 30 daripada 120 mangsa perang.
Kebimbangan berterusan
Pada 20 Disember 1941 pula sebuah kapal terbang milik Jepun muncul di ruang udara Kuching. Kapal terbang itu telah menggugurkan bom keatas D. F. Station dan landasan mendarat.
Kawasan bazar di Kuching juga menerima serangan mesingan dari kapal terbang tersebut. Kuching juga mula meninggalkan bandar itu secara beransur-ansur untuk berlindung di luar bandar.
Keadaan Kuching selepas 20 Disember 1941 kembali aman tanpa ada serangan udara daripada tentera udara Jepun. Tetapi kebimbangan akan serangan Jepun masih lagi mempengaruhi minda pegawai tentera British dan orang awan.
Jepun mula menjalankan propagandanya pada 23 hingga 24 Disember 1941 dengan menggugurkan risalah ke kampung-kampung dan bazaar. Risalah ini memaparkan amaran kepada penduduk tempatan untuk tidak membantu tentera British. Ia juga mengingatkan kepada penduduk tempatan akan hukuman diterima kalau membantu tentera British.
Risalah ini secara tidak langsung mempengaruhi penduduk tempatan. Malahan serangan awal dari Jepun juga menyebabkan kebimbangan dan ketakutan meninggi dalam kalangan pekerja tempatan. Akibatnya pekerja yang menjaga stesen telefon di Batu Lintang melarikan diri. Kesan daripada hal ini menyebabkan perhubungan telefon dengan Muara Tebas telah terputus.
Satu pasukan telah dihantar ke Batu Lintang untuk memulihkan perhubungan tersebut. Dalam keadaan yang penuh kecurigaan dan kebimbangan, berlaku salah faham dalam kalangan tentera British. Sebuah bot bernama Jean yang membawa pasukan keselamatan British dari Santubong telah ditembak kerana tidak memberitahu kedatangan mereka ke Pending. Beberapa pasukan keselamatan cedera dan terbunuh dalam serangan itu.
Bantuan Belanda
Tentera British juga berjaya menengelamkan dua kapal pengangkut bersaiz kecil Jepun yang cuba mudik ke Pending. Pada masa sama, tentera Belanda juga turut memberi bantuan unuk membendung kemaraan tentera Jepun.
Mereka menghantar kapal selam dan kapal terbang untuk menyerang kedudukan Jepun. Mereka telah berlegar di ruang angkasa Kuching dan sekitarnya sejak 8 Disember 1941.
Namun demikian kemaraan tentera Jepun gagal dibendung. Ada kapal-kapal tempatan digunakan oleh tentera Jepun untuk mengaburi tentera British. Pada 23 Disember 1941, satu arahan dikeluarkan untuk berjaga-jaga akan serangan Jepun kerana tentera darat Jepun telah berjaya mendarat di Kuching.
Pada masa sama arahan dikeluarkan untuk berundur dari Kuching dari Pejabat Setiausaha Pertahanan. Usaha untuk berundur telah dijalankan melalui jalan darat ke sempadan wilayah Kalimantan.
Pada 24 Disember 1941 tentera Jepun berjaya menawan bandar Kuching. Tentera British terpaksa melarikan diri ke Matang apabila digempur dari Jambatan Gantung Satok. Pada jam 5 petang bendera Jepun dikibar di Astana.
Kejayaan Jepun ini menamatkan kemegahan orang Barat mengenai kekuatan mereka. Kejayaan ini juga membawa babak baharu dalam sejarah Sarawak.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.