KOTA SAMARAHAN: Pengalaman dan pengatahuan yang diraih semasa pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS) mampu membantu melicinkan proses pelaksanaan pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aktiviti pelaburan yang semakin pesat di Bintulu menjadikan Bandar itu lokasi yang sesuai untuk meneruskan projek ART.
Katanya, pembinaan ART di Bintulu akan dilaksanakan selepas projek KUTS di Kuching disiapkan sepenuhnya.
“Kita sudah ada pengalaman, jadi kita akan laksanakan di Bintulu terutama di kawasan Tanjung Kidurong dan Samalaju kerana di situ banyak aktiviti pelaburan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian KUTS Fasa Pertama di tapak pembinaannya di sini, hari ini.
Terdahulu, pada ucapannya Abang Johari berkata, projek KUTS fasa satu ini dijangka beropeasi pada tahun 2025, projek itu dijangka akan memacu ekonomi negeri selari denga impian menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Bukan itu sahaja, projek itu juga merupakan salah satu penyelesaian kepada kesesakkan trafik yang tinggi terutamanya di Bahagian Samarahan,” katanya.
Fasa kedua projek berkenaan yang akan diumumkan kelak meliputi laluan ART di kawasan Bau, Kuching dan Serian.
Sebelum itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapannya berkata laluan biru, merah dan hijau masing-masing melibatkan laluan sepanjang 27.6 kilometer (km), 12.3km dan 30km.
“Kesemua laluan ini dijadualkan untuk mula beroperasi secara berperingkat, bermula suku keempat 2025,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Keterangan gambar
Abang Johari mendengar taklimat diberikan Abdul Aziz (dua dari kiri) pada majlis perasmian KUTS Fasa Pertama di tapak pembinaannya di Kota Samarahan, hari ini.