KOTA SAMARAHAN: Sarawak menggunakan kaedah menyerupai sistem kereta api bawah tanah London atau lebih dikenali sebagai ‘tube’ dalam pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana KUTS turut menggunakan laluan dipanggil laluan biru, merah dan hijau terutama bagi fasa pertama.
“Laluan Biru meliputi kawasan sepanjang 27.6 kilometer (km) dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar raya Kuching. Laluan merah pula sepanjang 12.3km dari Kuching Sentral ke Pending dan laluan hijau 30km dari Pending ke Damai Central di Santubong.
“Saya mula-mula mengetahui mengenai garis merah dan hijau itu apabila saya berada di London. Apabila menggunakan pengangkutan awam di London, kami menggunakan sistem London Underground, yang mempunyai pelbagai garisan berwarna. Kini Kuching juga memilikinya, sama seperti London,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan fasa pertama projek KUTS di Tapak pembinaanya di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya Abang Johari berkata, bajet untuk projek KUTS itu dianggarkan
RM4 bilion hingga RM5 bilion menggunakan dana Sarawak sendiri.
Katanya, pembinaan projek itu mengambil masa kira-kira lima hingga enam tahun untuk disiapkan.
“Dalam erti kata lain, jika anda membahagikannya selama lima tahun, ini bermakna RM1 bilion setahun,” katanya.
Abang Johari berkata, dengan itu juga, Sarawak akan memiliki Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen pertama di dunia.
Katanya, ART yang bakal dimiliki Sarawak itu mempunyai reka bentuk yang seakan-akan kereta api tanpa besi landasan (rel) kerana ia menggunakan roda.
Beliau turut mengimbas kenangan dan impiannya ketika kecil dahulu lagi.
Katanya, sejak di bangku sekolah lagi impiannya bagi mengubah wajah industri pengangkutan awam di Sarawak.
Menurut Abang Johari, impiannya bermula sejak menaiki bas ‘Chin Liang Long’ bernombor tujuh di Bandar Kuching suatu ketika dahulu.
“Kesemua bas yang saya naik mengeluarkan asap, dan bila naik bas itu rasa naik lori.
“Oleh sebab itu saya bayangkan, kalaulah saya diberikan peluang untuk mentadbir Sarawak, saya nak ubah pengangkutan awam yang ada di sini,” katanya.
Pada pelancaran itu, beliau turut melancarkan logo Projek KUTS, yang direka oleh Dr Atta Idrawani dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Keterangan gambar:
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat pelan projek semasa menghadiri Majlis Perasmian Projek sistem Pengangkutan Bandar Kuching Fasa 1 di Kota Samarahan hari ini. Foto:ANDRE OLIVEIRO.