SIBU: Pemilik syarikat yang menawarkan pakej pembinaan rumah mampu milik diminta tampil memberi penjelasan kepada pembeli.
Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, berkata seramai 89 mangsa di seluruh negara telah membuat laporan polis dan ada yang masih tidak mengetahui isu berkaitan.
“Dianggarkan seramai 186 mangsa di seluruh negara adalah pembeli. Kebanyakan mangsa telah membayar sekitar 30 hingga 100 peratus wang untuk pembinaan rumah, bergantung kepada pakej yang berharga antara RM115,000 hingga RM130,000 yang mereka pilih.
“Mengikut pakej pembinaan rumah mampu milik itu, yang bermula pada Mei tahun lalu, syarikat akan membantu mereka membina rumah di atas tanah pembeli dalam tempoh enam bulan.
“Bagaimanapun, sehingga kini tiada rumah dibina malah syarikat itu turut menutup beberapa cawangannya sehingga menyebabkan mangsa panik,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Jalan Aman, di sini hari ini.
Lau turut memberitahu, pengurus wilayah syarikat, Sia Ai Kiew turut menjadi mangsa kes itu kerana ramai pembeli meminta penjelasan, malah mengugutnya.
“Memandangkan sesetengah pembeli tidak dapat menghubungi pemilik syarikat, maka mereka mencari orang yang bertanggungjawab iaitu pekerja.
“Namun pekerja itu juga menjadi mangsa, dia tidak dibayar sejak September dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mereka (pekerja) tidak dibayar sejak Mei. Saya berharap pembeli berhenti mengganggu Sia,” katanya.
Katanya, beliau akan menulis surat berhubung perkara itu kepada pihak berkuasa serta Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita tidak boleh tangguhkan (proses siasatan) kerana ia melibatkan ramai orang tanpa mengira kaum dan latar belakang di seluruh negaraz
“Polis perlu menyiasat dan melihat kes ini dengan serius serta mengambil tindakan segera,” katanya.
Lau menggesa pemiliknya tampil memberi penjelasan kepada pembeli kerana semua wang yang mereka bayar semuanya adalah wang hasil titik peluh dan ada juga menggunakan pencen mereka.
“Saya menggesa orang yang bertanggungjawab untuk tampil memberi penjelasan dan memberitahu mereka (mangsa) apa seterusnya.
“Jika anda tidak mahu membina rumah mereka, bayar balik semua wang mereka,” katanya.
Sidang media tersebut turut dihadiri 10 mangsa pembeli rumah mampu milik syarikat berkenaaan.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
PENJELASAN……Lau (duduk empat kiri) bersama 10 pembeli yang menjadi mangsa pembelian rumah mampu milik syarikat berkenaaan.