KUCHING: Beberapa perkara dan tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia termasuk Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian geran khas dan wakil dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Antara perkara yang mungkin dapat diselesaikan segera seperti tuntutan geran dan Sarawak sudah mengemukakan formulanya, begitu juga dengan wakil dalam LHDN. Ini antara perkara yang telah dipersetujui secara prinsip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian persidangan Usahawan Wanita DEWANITA DUBS 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah berkata, tuntutan Sarawak terbahagi kepada dua.
“Ada yang masih tergantung dan dapat diselesaikan. Malah masih terdapat banyak perkara yang perlu dibincang dan dirunding termasuk memerlukan pindaan dan perubahan pada undang-undang sedia ada,” katanya.
Minggu lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ada beberapa perkara dalam tuntutan MA63 tidak boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.
Katanya, hal ehwal perundangan menjadikan perkara itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh dikehendaki dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang dipertanggungjawabkan menyelesaikan perkara berkaitan MA63 sudah mengambil maklum mengenainya.
Oleh NUR AIN OTSMAN