Dilah Tuah
Puisi merupakan sebuah karya sastera yang cukup rumit untuk dihasilkan kerana menuntut pemilihan kata-kata indah serta perlu disusun dengan teliti dalam baris pendek yang berima. Di samping itu, dalam ruangan puisi yang terbatas, penyair perlu bijak memilih diksi dan imej agar puisi yang dihasilkan dapat mengekspresikan idea dan emosi dalam gaya yang jelas serta imaginatif. Keupayaan penyair mencipta imej yang berkuasa dalam tautan kata yang sekata dan senada, dapat memberikan kepuasan estetika dan seterusnya menanjak pemikiran kritis khalayak pembaca.
Selain itu, penciptaan puisi turut berkait rapat dengan perasaan dan pemikiran penyair. Maka tidak hairanlah ada yang mengaitkan puisi sebagai ekspresi jiwa dan hati nurani penyair. Kendatipun begitu, ekspresi jiwa yang berlebihan dalam puisi akan membentangkan kepolosan yang prosaik serta gagal berkalung panjang di leher zaman. Oleh itu, dalam proses penghasilan puisi, penyair perlu cermat dalam menyusun idea, tema, diksi, nada, pemikiran dan falsafah yang ingin disepadukan menjadi himpunan kata-kata yang lunak.
Dalam penulisan puisi, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh penyair muda. Antaranya, mengelak daripada memasukkan perkataan yang tiada makna walaupun keberadaan perkataan tersebut memberi kesan irama kepada puisi yang dihasilkan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi bukan sekadar keindahan kata dan rentak bunyi semata. Dalam puisi, terdapat medan makna, gaya bahasa dan kesempurnaan pengucapan yang berperanan dalam membantu khalayak untuk menghayati dan memahami puisi. Di sisi yang lain, penghasilan sesebuah puisi juga merupakan suatu manifestasi diri yang mendorong seseorang penyair untuk menyajikan diksi-diksi sakti kepada khalayak.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan membahaskan tiga buah puisi yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lepas. Puisi-puisi yang akan diulas ialah “Retroperspektif” karya Angelo Taj, “Sayang Si Belang” hasil nukilan Slivera Adriany dan “Parut yang Membekas” karya Rawjie. Sebagai fokus perbincangan, ulasan ini akan menelusuri citra atau imej terpilih yang digunakan oleh penyair dalam menggambarkan pengalaman serta maksud yang ingin disampaikan.
Puisi pertama berjudul “Retroperspektif” merupakan hasil nukilan Angelo Taj yang membawa khalayak pembaca meneroka ke ‘tanah orang beradat resam’. Sekiranya diteliti daripada baris pertama sehingga ke baris terakhir puisi ini, jelas penyair memaparkan citra kearifan setempat (local wisdom) yang terdapat di Sarawak. Hal ini dapat diperhatikan pada kata dan frasa yang digunakan, iaitu Song, Bidayuh, dabai, Iban, manjong menoa, engkalak, Katibas, Belaga, cili geronong, Skrang dan lain-lain. Kesemua citra ini pastinya akan terpampang di layar imaginasi khalayak, khususnya bagi mereka yang berasal dari Sarawak. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah.
retro metro pekan kecil Song
ibu Bidayuh menjual dabai musim
bujang Iban menjual kokok ayam pagi
di pasar ini ia berbau manjong menoa
aku mencari eksotik buah engkalak Katibas
& paku pakis pucuk muda inek tua Merabong
& renang – renang ikan tilapia kuala kelikir Belaga
& buah lemon ladang cina Canton
& cili geronong anak jawa Angsuka Dewa
& pemanis asam kelumbi paya bakau kolong Skrang
& hitam beras Song lereng huma Nanga Nansang
& daun sup yang menjalar di mangkuk Hainan
& gula nira kelapa tebu teluk Mindanao
& begitulah aku memasak kenangan nafas berkurun
anak dagang yang singgah sekejap menebar nasib badan
di tanah orang beradat resam hidup aroma – aroma pengalaman
dihidang bersama sebotol cencaluk Melano & umai obor Belawai-ku.
Walaupun pemaparan puisi ini baik, namun terdapat percampuran citra dalam puisi ini yang pastinya mengelirukan pembaca. Pertama, tentang ‘ibu Bidayuh’ yang menjual ‘dabai’ di pekan kecil Song yang secara jelas bercanggah dengan realiti sebenar etnik yang tinggal di kawasan tersebut. Di kawasan Song, Belaga dan Kapit, etnik yang lebih dekat dengan kawasan tersebut ialah Iban. Manakala Bidayuh pula kebanyakannya berada di barat daya Sarawak seperti di Serian, Padawan dan Bau. Hal yang sama juga berlaku pada frasa /& gula nira kelapa tebu teluk Mindanao/, /& buah lemon ladang cina Canton/, /& cili geronong anak jawa Angsuka Dewa/, dan /& paku pakis pucuk muda inek tua Merabong/.
Mengapa beberapa baris yang dinyatakan di atas tadi memperlihatkan percampuran citra yang mengelirukan pembaca? Pertama, penyair tidak tekal dalam citra yang digunakan dalam puisi ini. Hal ini kerana visual pembaca pastinya berubah dari kawasan yang terdapat di Sarawak ke Mindanao, Filipina, Canton di China, serta tercari-cari di mana letak duduknya Merabong (kemungkinan Meradong). Dalam puisi, citra merupakan gambaran dalam minda yang seakan-akan membantu khalayak mendengar, melihat dan merasakan sebagaimana yang digambarkan oleh penyair dalam puisinya.
Selain itu, didapati puisi ini dihasilkan dalam keadaan yang tergesa-gesa sehingga terdapat beberapa pilihan diksi yang kurang mesra dan sesuai. Misalnya pada baris /& pemanis asam kelumbi paya bakau kolong Skrang/ yang kurang tepat dari aspek penggunaan istilah bagi asam kelubi yang lebih sinonim di Semenanjung. Diksi yang lebih sesuai ialah asam payak atau dalam kalangan masyarakat Iban dikenali sebagai buah Maran. Selain itu, terdapat binaan diksi yang kurang sesuai pada frasa /pemanis asam kelumbi/ yang didapati berkontradiksi antara rasa manis dan masam. Hal yang sama juga dikesan pada baris /& gula nira kelapa tebu teluk Mindanao/ yang mempunyai percampuran citra anta ‘gula’, ‘nira’, ’kelapa’ dan ‘tebu’. Dalam hal ini penyair perlu cermat dalam memilih kata-kata yang terbaik dalam susunan diksi yang terbaik.
Puisi seterusnya berjudul “Sayang Si Belang” karya Slivera Adriany yang membawa khalayak menyelami rasa kasih sayang antara sesama insan. Daripada bait-bait puisi ini, khalayak pada dasarnya sudah dapat menjangkakan bentuk dan makna puisi ini. Pertama menerusi penggunaan frasa ‘Sayang Si Belang’ pada tajuk puisi ini yang merujuk kepada seekor kucing yang berbelang badannya. Mengapa ‘Si Belang’ tidak merujuk kepada haiwan lain seperti Harimau? Dalam puisi, pemilihan kata yang digunakan oleh penyair akan memberi tanda dan petanda kepada pembaca. Justeru penggunaan kata ‘sayang’ lebih mengarah kepada haiwan-haiwan yang jinak sifatnya.
Dari segi bentuk, puisi ini didapati prosaik dan polos kerana penyair menceritakan secara terus terang pengalamannya dalam puisi ini. Apakah salah bentuk penulisan sebegini? Jawapannya sudah tentu tidak kerana setiap penyair mempunyai hak untuk menghasilkan puisi yang diinginkan. Namun begitu, untuk pergi lebih jauh dalam dunia kepenyairan, khalayak pada hakikatnya mendambakan puisi-puisi yang sarat dengan idea dan gagasan, padat dari aspek kata dan makna serta kaya dengan nilai estetika. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah.
Aku melihat gelisahnya ibu
Seperti pelanduk di dalam cerang
Sukar dicari teduhnya anak -anak
Sayu ku lihat terguris di hati
Ku letak mangkuk kecil di halaman rumah
Ku letak sedikit makanan dan minuman
Lalu ku melihat datangnya si ibu
Terlihatnya seperti sekian lama tak bersantapan
Embun pagi membasahi bumi
Aku keluar melihat mentari pagi
Terkejutku melihat si ibu bersama anak -anaknya
Terdampar di alas hadapan pintu rumah ku
Lalu kubelai ibu dan anak -anaknya
Sungguh manja membuat hatiku cair
Akan kujaga ibu dan anak -anaknya
Menjadi sebahagian ahli keluargaku
Akan ku sayang sepenuh hatiku
Walau ku tak tahu asal usulnya.
Walaupun penulisan puisi tidak terikat dengan bahasa kamus dan hukum tatabahasa atas alasan licentia poetica, namun penulis tidak seharusnya mengetepikan bentuk penulisan puisi yang baik. Dengan erti kata lain, puisi yang baik perlu ditulis dengan ejaan yang betul, pilihan kata yang tepat dan pada masa yang sama menjulang gaya penulisan yang baik. Dalam puisi ini, didapati penulisan ‘ku’ yang merupakan singkatan bagi ‘aku’ dieja terpisah. Pada masa hadapan, diharap penyair dapat membetulkan aspek ini kerana kata singkatan ‘-ku’ tidak dapat berdiri sendiri dan perlu dieja rapat seperti ‘kulihat’, kuletak, kusayang dan sebagainya seperti yang digariskan dalam puisi di atas.
Secara keseluruhan, puisi ini perlu melalui proses pemurnian dan pemadatan kata secara intensif. Hal ini kerana puisi yang baik perlu dibina atas dasar pemilihan serta penyaringan kata-kata yang terbaik, sebelum disusun dan dipadatkan dalam ruangan puisi yang terbatas. Selain itu, harus disedari bahawa puisi bukan sekadar ucapan bahasa seharian, namun perlu memiliki kekuatan sebagai pengungkapan pemikiran dan perasaan lewat pengalaman batiniah penyair.
Puisi terakhir berjudul “Parut yang Membekas” karya Rawjie menampilkan sebuah binaan diksi yang ringkas dan baik. Walaupun tema puisi ini berkelintaran dalam ruangan peribadi penyair, namun masih terdapat pemikiran dan gagasan yang ingin dititipkan oleh penyair kepada khalayak. Hal ini bertepatan dengan peranan puisi sebagai alat untuk menyatakan pengalaman, idea atau emosi dalam gaya yang lebih tertumpu, imaginatif dan berkuasa daripada ucapan atau prosa biasa. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah.
Luka yang engkau ciptakan
telah lama sembuh
namun parut yang membekas
membangkitkan persoalan
pada setiap mata memandang
mungkin aku perlu ceritakan
sebagai peringatan
atau harus ku biarkan
kekal menjadi tanda Tanya.
Sekiranya diteliti dari aspek makna, puisi ini membawa erti yang cukup besar kepada insan yang pernah dikecewakan seperti pada baris pertama /Luka yang engkau ciptakan/. Dalam bahasa puisi, luka membawa makna disakiti atau dikecewakan oleh seseorang yang dikenali seperti sahabat, pasangan dan kenalan. Di sebalik kekecewaan, penyair meninggalkan sesuatu untuk difikirkan oleh khalayak, iaitu tentang kewajaran baginya untuk menceritakan tentang /parut yang membekas/ atau membiarkannya/ kekal menjadi tanda Tanya/. Justeru, begitulah halusnya jiwa penyair dalam menyalurkan suara batinnya lewat puisi sehingga mampu membekaskan kesan estetika kepada khalayak pembaca.
Dari segi bentuk, puisi ini dihasilkan dengan pilihan kata yang baik, padat dan berkesan. Biarpun puisi ini ditulis dalam satu rangkap yang pendek, namun ia berupaya membentuk satu kesatuan idea yang jelas tentang perkara yang ingin disampaikan oleh penyair. Di samping itu, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang wajar diberikan perhatian oleh penyair. Antaranya aspek penulisan kata singkatan -ku yang perlu ditulis serangkai dengan perkataan yang mengikutnya seperti ‘ku biarkan’ dalam puisi ini.
Kesimpulannya, ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas memaparkan sisi kekuatan dan kelemahan yang masih dapat diperbaiki dan ditambah baik pada masa akan datang. Dalam menghasilkan puisi, perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh penyair muda ialah kesabaran dan ketekunan. Penyair yang sabar dan tekun dalam menyaring kata-kata yang terbaik, akan berupaya membina wilayah kepenyairannya yang tersendiri. Begitulah kehidupan seorang penyair, yang sentiasa ‘berkelahi’ dengan kata-kata dalam memastikan puisi yang dihasilkan berupaya menjulang sebuah pengucapan yang terindah. Teruskan berkarya!