ANDAI Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri hari itu, orang ramai mungkin kurang teruja untuk melihat senarai anggota Kabinetnya.
Ini kerana Muhyiddin pernah menyandang jawatan Perdana Menteri kelapan selama 17 bulan mulai 16 Ogos 2021 dan Kabinetnya didominasi wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Malah, cara pentadbirannya semua sudah tahu – sama ada OK atau tidak terpulang kepada persepsi masing-masing.
Sebaliknya, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi Kerajaan Perpaduan, pengumuman Kabinet baharunya itu ditunggu-tunggu orang ramai meskipun selepas seminggu berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah, sebelum pembentukan Kabinet, rakyat tertunggu-tunggu selama empat hari dan 23 jam atau 119 jam untuk pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Itulah perjalanan Anwar, selepas berakhirnya PRU-15, tetapi perjalanan sebenarnya agak panjang bermula 24 tahun lalu dengan penuh ranjau.
Mengapa Kabinet Kerajaan Perpaduan Anwar dinantikan? Ini kerana selepas 24 tahun, akhirnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerajui negara sekali 119 jam menuju ke Putrajaya gus menarik perhatian dunia bagaimana corak pemerintahan beliau setelah bergelut dengan pelbagai cabaran dan dugaan sejak 1998.
Bagi rakyat biasa, mereka ingin melihat apakah janji dan kata-kata Anwar selama ini bakal dipenuhinya.
Episod video tular ‘hari ini jadi PM, esok minyak turun harga’ adalah isu lama pada 2018, tetapi ramuannya tetap menjadi perhatian masyarakat.
Beliau memulakan langkah menunaikan janji tidak mahu menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan kemudian memperoleh konsensus 28 menteri Kabinetnya untuk memotong gaji 20 peratus meskipun sesetengah nitizen menerimanya secara sinis.
Tidak semuanya diterima baik oleh masyarakat terutama berkaitan pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zaidi Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ini kerana Zahid yang juga Presiden UMNO dianggap sebagai ‘kluster mahkamah’ dan sebahagian lagi kesnya masih berjalan di mahkamah. Mengapa Anwar perlu memilih Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri? Sebelum ulasan lanjut, mari kita imbas kembali jumlah kerusi dimenangi parti gabungan utama
pada PRU-15 lalu.
Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar menang 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyddin dengan 73 kerusi, BN pimpinan Zahid menang 30 kerusi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) tiga kerusi.
Semua sudah tahu, tiada satu gabungan memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan minoriti 112 kerusi.
Dengan itu, PH dan PN terpaksa mencari rakan gabungan untuk membentuk kerajaan.
Pendirian GPS Buat seketika, Malaysia menghadapi krisis dengan Parlimen tergantung selama empat hari
selepas pengumuman keputusan PRU-15.
Di sinilah BN dengan 30 kerusi menjadi ‘king maker’. Kalau BN sokong PN dan termasuk GPS, maka Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Sebaliknya, BN menyokong PH, sekali gus mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti, dan kemudiannya jumlah bertambah dengan sokongan parti lain
termasuk GPS dan GRS.
Sebelum itu, apabila pemimpin GPS diminta mengadap Yang di-Pertuan Agong, pemimpinnya dinasihat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang bakal ditubuhkan. Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kemudian mengumumkan secara rasmi untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.
PN pimpinan Muhyiddin pula menolak gabungan kerajaan dengan PH. Ini sekali gus meminggirkan PN pimpinan Muhyiddin berada di blok pembangkang.
Melihat kepada senario itu dan berdasarkan angka, impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tercapai dengan sokongan kuat BN terutama Zahid Hamidi.
Mungkin kerana ini, ‘cikgu’ memilih ‘anak muridnya’ sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beberapa hari sebelum pelantikan itu, Anwar bagaikan memberi bayangan apabila menyatakan bahawa, seseorang belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Bagi Borneo, ini juga kali pertama dalam sejarah rakyatnya menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof.
Itulah dunia politik, dengan banyak kejutan berlaku. Piala Dunia yang sedang berlangsung juga ada kejutan di peringkat awal seperti kekalahan Argentina di tangan Arab Saudi dan kekalahan juara dunia empat kali,Jerman ketika berdepan Jepun.
Malah, Maghribi mengejutkan apabila menewaskan Sepanyol,meletakkan pasukan dari Afrika itu ke suku akhir buat pertama kali dalam sejarah mereka, mengatasi pencapaian pada 1986 apabila mara ke kelompok 16 terakhir.
Itulah dunia sekarang. Kejutan kerap berlaku dan yang tidak disangka, pula terjadi.
Rangkumi semua peristiwa pasca PRU-15 turut dipaparkan TV3 dalam dokumentari khas, 119 Jam Menuju Ke Putrajaya malam kelmarin yang berkisar mengenai penantian rakyat Malaysia selama empat hari dan 23 jam untuk pelantikan Perdana Menteri Ke-10.
Tajuknya agak menarik dan turut diikuti tajuk sama mengiringi artikel ini. BN ‘king maker’ Tetapi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkongsi cerita bahawa, Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan dan Barisan
Nasional wujud kerana Perikatan Nasional menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan bersama PH.
Sebagai seorang penyelaras dan terbabit dalam rundingan, Rafizi menjelaskan Kerajaan Perpaduan terpaksa ditubuhkan kerana keputusan PRU-15 adalah unik dan tidak ada gabungan mendapat majoriti membentuk kerajaan sendiri, tetapi PH menjadi blok yang terbesar.
“Lebih unik lagi, keputusan ini (PRU-15) menyebabkan PN atau PH pun tidak boleh membentuk kerajaan sendiri tanpa penyertaan BN. Mana-mana gabungan memerlukan penyertaan BN untuk membentuk kerajaan.
“Kalau pun PN berjaya mengumpulkan sokongan daripada semua parti lain selain daripada PH atau BN, PN tidak boleh membentuk kerajaan,” katanya dalam satu hantaran menerusi TikTok.
Hakikatnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah untuk kestabilan politik walaupun sebenarnya ia adalah kerajaan campuran dalam erti kata yang sebenar.
Bayangkan jika Malaysia berterusan diterajui kerajaan minoriti, seperti apa berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’ hingga menyaksikan perubahan tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun selepas PRU-14 2018.
Mungkin menyedari hakikat ini dan demi kepentingan rakyat dan negara, Yang di-Pertuan Agong menyarankan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Jika tidak, kerajaan minoriti yang terbentuk adalah sangat tidak stabil, ia boleh jatuh bila-bila masa sahaja. Walaupun Akta Anti Lompat Parti mampu mencegah tindakan melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen, akta itu tidak menghalang mana-mana parti untuk ‘keluar masuk’ gabungan.
Malah, Akta Anti Lompat Parti itu juga menyekat Ahli Parlimen daripada menyokong calon Perdana Menteri dari parti yang lain tanpa mendapat keputusan parti masing-masing.
• Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak