DISEMBER ini adalah bulan menyimpan sejarah yang mengemparkan dunia dan ia berlaku di Sarawak. Peristiwa sejarah yang berlaku ini ialah pembunuhan Gabenor kedua British di Sarawak iaitu Duncan George Stewart. Pembunuhan Steward ini bukanlah kes pertama berlaku di Sarawak.
Ini kerana sebelum ini pada 1859 dua pegawai Brooke iaitu Charles James Fox dan Henry Steel juga telah dibunuh oleh perjuang Sarawak di Kanowit. Jika diamati dalam sejarah Malaysia, peristiwa pembunuhan pegawai tertinggi British ini pernah juga berlaku di Perak apabila J W W Birch iaitu residen British dibunuh pada 1874.
Peristiwa berdarah ini sekali lagi berlaku pada 1949. Persamaan dengan kejadian yang berlaku di Perak ini dengan Sarawak kerana menentang penjajahan kuasa British ke atas negeri mereka. Maka berlakulah penentangan yang mencapai kemuncak kepada kejadian berdarah ini.
Pembunuhan Stewart pula berpunca daripada bantahan penyerahan Sarawak kepada British yang membawa kepada gerakan anti-penyerahan di Sarawak. Peristiwa pembunuhan Stewart ini mengejutkan pihak berkuasa British kerana tidak menyangka bahawa kejadian ini boleh berlaku di Sarawak. Ini kerana pihak British merasakan mereka boleh mengawal Sarawak dengan senang.
Pihak British bertambah yakin apabila laporan-laporan dari pegawai mereka di Sarawak mengatakan gerakan anti-penyerahan ini tidak mendapat sambutan dan akan gagal secara semulajadi. Laporan Sarawak Gazette dan laporan setiap bahagian misalnya menganggap bahawa penentangan ini telah gagal. Laporan mereka menunjukkan penduduk Sarawak mahu bekerjasama dan menerima pemerintahan British di Sarawak. Akhirnya laporan ini menjadi tidak relevan apabila Stewart telah ditikam di Sibu.
DARI AFRIKA
Siapa Duncan George Stewart Beliau dilahirkan pada 1904 dan menerima pendidikan di Winchester dan Oriel College, Oxford. Beliau menyertai perkhidmatan koloni pada usia 24 tahun, kemudian dilantik sebagai kadet pada 1928 di Nigeria.
Dari jawatan kadet beliau memegang pelbagai jawatan lain seperti Seitausaha Peribadi kepada Lefternen Gabenor Wilayah Utara, Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah dan Setiausaha kepada Persidangan Gabenor Afrika Barat. Kerjaya beliau mula mekar apabila dilantik pula sebagai Setiausaha Kolonial di Bahamas pada 1944. Pada 1947 beliau dilantik sebagai Setiausaha Kewangan di Palestin.
Kemudiannya Raja England berkenan melantik beliau sebagai Gabenor Sarawak mengantikan Sir Charles Arden Clarke. Beliau tiba di Sarawak kira-kira jam 8.15 pagi pada 14 November 1949. Setibanya di Sarawak, beliau dilantik sebagai gabenor dan panglima tentera tertinggi Sarawak. Pelantikan beliau mendapat ucapan terima kasih daripada Persuruhjaya British di Asia Tenggara Malcolm MacDonald.
LAWATAN BERDARAH
Antara tugas pertama dilakukan oleh Stewart adalah melakukan lawatan ke bandar dan pekan di Sarawak. Ini merupakan usaha memperkenalkan dirinya kepada rakyat Sarawak selain untuk mendapat sokongan penduduk tempatan.
Pada 3 Disember 1949, beliau bersama rombongannya melakukan lawatan rasmi ke Sibu.
Sampainya di Sibu, beliau telah melakukan pemeriksaan hormat ke atas Pengawal Kerajaan. Sejurus selepas itu beliau melalui barisan kanak-kanak sekolah.
Ketika itu seorang anggota Persatuan Pemuda Melayu (PPM) iaitu Rosli Dhobi telah menikam Stewart dan terkena perut beliau. Seorang lagi anggota PPM iaitu Morsidi Sidek cuba menikam Stewart yang telah parah tetapi berjaya dihalang oleh pihak polis.
Kedua-dua mereka yang menikam itu berjaya diberkas dan ditangkap, manakala Stewart pula terpaksa menjalani pembedahan di Sibu. Untuk menyelamatkan nyawanya, seorang pakar bedah iaitu Profesor D. E. C. Mekie bersama jururawatnya telah diterbang ke Sibu.
Namun demikian keadaan Stewart memerlukan satu rawatan yang lebih daripada apa yang dapat disediakan di Sarawak.
Maka beliau telah diterbangkan ke Singapura untuk rawatan susulan. Namun demikian usaha menyelamat beliau gagal. Beliau meninggal dunia di Singapura pada 10 Disember 1949. Satu upacara pengkebumiannya telah dilakukan di Singapura.
PERJUANGAN
Kes berdarah di Sibu ini merupakan satu manifestasi penduduk Sarawak yang menuntut keadilan daripada Kerajaan British. Sikap British yang tidak mahu mendengar runggutan dan bantahan penduduk Sarawak telah membawa kepada langkah yang mengejutkan ini.
Malahan British mengambil sikap tidak peduli dan menyangka bahawa gerakan anti-penyerahan yang berlaku itu tidak serius. Mereka juga berharap gerakan itu akan lenyap begitu sahaja. Ini kerana mereka melakukan tindakan pecah perintah dengan cuba mendapat sokongan orang Dayak.
Namun demikian pergerakan anti-penyerahan ini bukan digerakkan hanya oleh orang Melayu tetapi juga mendapat sokongan daripada masyarakat Dayak. Mereka ini prihatin akan nasib mereka dan menuntut agar penyerahan ini tidak dilakukan.
Ada dua pilihan berlaku dalam gerakan anti-penyerahan ini. Pertama adalah British harus menyerah semula Sarawak kepada keluarga Brooke dibawah pimpinan Anthony Brooke. Hasrat ini diperjuangkan oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS).
Kedua pula datang dari anak muda dari lembah Rajang yang menuntut kemerdekaan bagi Sarawak. Hal ini disuarakan oleh persatuan-persatuan di Sibu, Matu, Igan dan Mukah. Mereka menuntut hak memerintah ini kepada rakyat Sarawak.
KEDEGILAN
Namun demikian Kerajaam British tidak berganjak untuk berunding dan menerima cadangan penduduk Sarawak. Sikap tidak peduli British ini membawa pilihan untuk melakukan rancangan membunuh pegawai kerajaan British.
Hal ini dibuat di Sibu oleh sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai Rukun 13 dari PPM. Mereka merancang untuk melakukan usaha kekerasan apabila Gabenor Sarawak, Stewart melawat Sibu. Akhirnya berlaku peristiwa berdarah ini yang berakhir dengan kematian Stewart.
Rosli Dhobi dan rakan-rakan yang disyaki pula telah dibicarakan pada hujung 1949. Pihak British mahukan agar perbicaraan ini dijalankan secepat mungkin. Akhirnya pada awal 1950, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati kepada Rosli dan beberapa orang rakannya. Dalam tempoh perbicaraan ini menyaksikan terdapat banyak kelemahan ketara dalam mengadili Rosli dan rakan-rakannya.
Namun pihak mahkamah tetap dengan keputusannya untuk menjatuhkan hukuman gantung terhadap Rosli. Pemergian Rosli ini merupakan lambang pengorbanan besar dalam perjuangan untuk memelihara kedaulatan negeri Sarawak.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.