LAWAS: Ketiadaan wakil masyarakat Orang Ulu dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang amat mengecewakan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sudah menjadi prinsip Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai tunjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sejak Barisan Nasional(BN) dahulu mengamalkan prinsip inklusif dan penerimaan semua kaum dalam kerajaan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau persekutuan.
Katanya, ini terbukti melalui pelantikan mendiang Datuk Luhat Wan, Datuk Jacob Dungau Sagan, Dato Seri Idris Jala dan Dato Henry Sum Agong daripada masyarakat Orang Ulu Sarawak semasa dibawah kerajaan BN dan Perikatan Nasional(PN) dahulu.
Malah kata beliau, bekas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian yang tewas kepada Henry Sum pada PRU ke-15 lalu pernah menjadi Menteri Kerja Raya selama 22 bulan antara tahun 2018 hingga 2020.
“Kita menghargai pelantikan lima menteri dan enam timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan tetapi perlu melihat kepada suara golongan minoriti untuk mengimbangi kerajaan yang telah dibentuk oleh Anwar.
“Memang kita faham bahawa pelantikan anggota kabinet adalah hak Perdana Menteri tetapi atas semangat inklusif mewakili semua kaum, adalah wajar dilantik seorang timbalan menteri daripada kalangan Orang Ulu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PBB berkata demikian pada ucapan di majlis Malam Sejambak Budi atas persaraan Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang dan penghargaan petugas Pilihanraya Umum Ke-15 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Awang Tengah menjelaskan, Henry Sum daripada suku Lun Bawang adalah antara kaum Orang Ulu yang layak untuk dilantik sekurangnya sebagai Timbalan Menteri.
“Henry Sum ini layak dilantik sebagai timbalan menteri malah sebagai menteri penuhpun layak.
Beliau seorang pemimpin kanan Orang Ulu yang banyak pengalaman dan telah memegang jawatan timbalan menteri di tiga kementerian sebelum ini,” katanya.
Awang Tengah berkata, difahamkan nama Henry Sum yang kini memasuki penggal keenam sebagai Ahli Parlimen adalah calon timbalan menteri dan menteri yang teratas dalam senarai dikemukakan oleh GPS termasuk beberapa nama calon mewakili masyarakat Orang Ulu lainnya.
Bagaimanapun katanya, GPS akan terus mempertahankan prinsip inklusif di Sarawak yang memiliki masyarakat majmuk, berlainan agama dan budaya.
“Inilah prinsip dan perjuangan kita dalam Parti PBB untuk memastikan semua kaum, agama dan latar belakang yang pelbagai di Sarawak terus dibela serta kita pertahankan.
“Keharmonian kita di Sarawak ini perlu kita kekalkan untuk kita sama-sama bergerak maju tanpa ada satu kaum yang tercicir,” katanya.
Awang Tengah juga berharap agar semua menteri dan timbalan menteri dari Sarawak dapat memberikan khidmat secara inklusif kepada rakyat Sarawak dan tegas berpegang kepada prinsip kebersamaan rakyat di seluruh Sarawak.
“Sama-sama kita menjaga keluarga besar Sarawak ini dan pastikan kita terus teguh bersatu, bekerjasama dan hidup dengan harmoni,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS
Keterangan gambar
JASAMU DIKENANG…Awang Tengah menyampaikan cenderamata kenangan kepada Sebi yang akan bersara wajib tahun ini sambil disaksikan oleh Henry Sum dan Paulus Palu.