KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Kumpulan POSCO dari Korea untuk kerjasama membangunkan perniagaan penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Sarawak.
PETROS, syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak diwakili Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo; Ketua Eksekutif Kumpulan, Janin Girie dan Pemangku Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Anyi Ngau.
Kumpulan POSCO pula diwakili Ketua Perniagaan Hidrogen POSCO Holdings, Cho Ju-Ik.
Upacara itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapannya, Hamid berkata pihaknya menghargai kepercayaan dan keyakinan Abang Johari dan kerajaan Sarawak kerana memberikan PETROS sebagai pengurus penyerapan dan penyimpanan karbon untuk negeri ini.
“Kita kongsi keyakinan dan kepercayaan ini dalam arena CCS. Dengan sokongan dan kerjasama yang betul, kita boleh membantu Sarawak mencapai taraf kelas dunia dalam CCS,” katanya.
PETROS sebagai pengurus perniagaan CCS di Sarawak, menandatangani perjanjian dengan POSCO Holdings-POSCO International-POSCO Engineering & Construction Co, Ltd.
Empat syarikat ini akan menjalankan kajian bersama terhadap tapak berpotensi penyimpinan karbon di Sarawak berdasarkan data yang ada disediakan PETROS.
Melalui kerjasama itu nanti, pelepasan karbon dioksida (CO2) dari Korea ke hab CCS di Sarawak, akan disimpan dan diserap untuk memerangkap haba dalam gas rumah hijau.
Cho Ju-Ik pula berkata, POSCO International memiliki pengalaman luas dalam penerokaan serta pengeluaran minyak dan gas.
“POSCO E&C sudah menyiapkan kajian terperinci untuk kemudahan CO2, maka kami yakin untuk mempercepatkan usaha penyerapan (karbon) di peringkat kumpulan,” katanya.
CO2 adalah gas rumah hijau yang memerangkap haba, secara beransur-ansur menyebabkan pemanasan global. Ia kekal di udara dan lautan selama beribu-ribu tahun.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.