SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengesa orang ramai supaya tidak mempertikai, sebaliknya tunjuk rasa hormat terhadap reka bentuk hiasan pokok Krismas yang dipasang di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini.
Pengerusinya, Clarence Ting Ing Horh berkata, pihak sekolah telah berusaha sedaya-upaya untuk mereka bentuk dan menggunakan bahan kitar semula untuk hiasan pokok Krismas mereka.
“Saya tidak suka membahas perkara ini di media sosial. Reka bentuk ini datang dari organisasi yang berbeza dan dalam kes ini, ia adalah sekolah.
“Semua orang harus menghormatinya dan tidak membuat pertikaian kerana mereka adalah pelajar sekolah yang melakukan banyak usaha untuk menunjukkan semangat Krismas mereka.
“Marilah nikmati Krismas ini dengan perasaan gembira,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis menyalakan lampu Pokok Krismas di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, malam tadi.
Lapan pokok Krismas dipasang oleh peserta Pertandingan Pokok Krimas anjuran MPS.
Lapan institusi yang mengambil bahagian ialah Gereja Methodist Zion, Sekolah Tinggi Katolik, Katedral Sacred Heart, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Methodist Xin Fu Yuan, SMK Methodist, SM Wong Nai Siong dan SMK Kampung Nangka.
Beliau menjemput orang ramai untuk datang bergambar dengan semua pokok di dataran tersebut dan menikmati kemeriahan Krismas.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu, saya juga mengalu-alukan semua orang di Sibu untuk menyertai Ambang Tahun Baharu 2023 yang akan diadakan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada 31 Disember ini,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN