KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuka 23 kertas siasatan mengenai jenayah penyeludupan hidupan liar terancam di negara ini dalam tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah berkata, kesemua kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1976 dan Akta Pemerdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 membabitkan nilai rampasan hampir RM73.4 juta.
“Daripada jumlah kertas siasatan terbabit, sebahagian masih dalam peringkat untuk mendapatkan keizinan bagi pendakwaan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Sebahagian lagi masih dalam peringkat siasatan untuk mengenal pasti pengimport yang menerima bekalan terbabit dan juga pengeksport,” pada sidang media sempena mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Ribuan berkata, JKDM turut mengesan peningkatan kemasukan hidupan liar terancam dari luar negara ke Malaysia serta pergerakan antara wilayah membabitkan Sabah dan Sarawak terutama di lapangan terbang sama ada menerusi kargo, bungkusan dan penumpang.
“Pergerakan itu melibatkan pelbagai jenis flora dan fauna serta bahagiannya khususnya bagi kura-kura, kulit rusa, pokok hiasan dan juga bulu burung merak tanpa permit atau kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk dijadikan haiwan peliharaan dan juga hiasan.
“Seperti sedia maklum, JKDM pada tahun ini telah berjaya menahan sebuah kontena yang sarat dengan dagangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) seperti gading gajah, sumbu badak, tulang singa dan sisik tenggiling,” katanya.
Selain itu katanya, JKDM membuat 15 serahan kes melibatkan pergerakan hidupan liar tanpa kelulusan kepada pihak berkuasa tempatan di Sarawak dan Sabah dalam tahun ini.
Katanya, kes serahan itu membabitkan pelbagai spesis fauna yang masih hidup.
“Serahan kes ini terutamanya yang melibatkan pergerakan hidupan liar tanpa kelulusan di antara wilayah bagi pergerakan dari atau ke Sabah dan Sarawak.
“Antara spesis itu adalah seperti ular, biawak dan kura-kura,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Keterangan gambar
PENJELASAN… Ribuan Abdullah (tengah) ketika bercakap pada sidang media sempena mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Kuching, hari ini. Turut kelihatan ialah Tan Sri Razarudin Husain dan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.