LAWAS: Anggota bomba yang mengadakan latihan ‘ala spider-man’ di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas menarik perhatian orang ramai di kawasan sekitar.
Seramai 30 orang ‘spider-man bomba’ dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Lawas menunjukkan aksi menuruni bahagian tepi masjid pada ketinggian 47 meter, lengkap dengan peralatan khas.
Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim berkata pihaknya mengadakan latihan dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya pada tahap terbaik terutama dalam operasi penyelamatan di tempat tinggi.
“Latihan teknikal penyelamatan tali aras tinggi BBP Lawas dijalankan hampir 10 jam untuk memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersedia menyelamat di kawasan tanah tinggi, lereng bukit dan gaung,”katanya.
Azman berkata, biasanya latihan itu dilakukan di BBP yang mempunyai menara latihan, namun ada kalanya ia diadakan di luar bagi menguji cabaran seperti di kawasan tinggi termasuk di kawasan Masjid Besar Lawas.
“Latihan itu mampu meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri anggota dalam aspek teknikal penyelamatan tali aras tinggi, selain menguji kemahiran dipelajari mereka dan emosi terutama apabila berdepan detik cemas,” katanya.
Katanya, latihan menggunakan tali atau dipanggil ‘abseiling’ dari aras ketinggian lebih 47 meter benar-benar menguji kesiapsiagaan mereka selain kemahiran mengendali peralatan.
Seramai 30 pegawai dan anggota dari BBP Lawas menyertai latihan itu yang dikendalikan enam jurulatih pakar tali dengan beberapa teknik diterapkan supaya mereka tidak kekok dalam latihan yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang semalam.
“Latihan dilakukan sebagai pendedahan dan pembiasaan gerak kerja teknikal penyelamatan tali aras tinggi kepada pegawai bomba baharu dan pegawai bomba bantuan serta latihan pengukuhan kepada pegawai bomba sedia ada,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS