DOHA: England perlu menamatkan kegagalan 56 tahun berdepan lawan elit pada peringkat kalah mati Piala Dunia jika mahu menggagalkan penguasaan Perancis selaku juara bertahan pada pertembungan besar suku akhir awal pagi Ahad ini.
Sekiranya berdepan Kylian Mbappe dan rakan-rakan tidak cukup buat skuad kendalian Gareth Southgate, mereka juga perlu mengatasi badi berdekad berdepan pasukan handalan lain di Stadium Al Bayt.
Sejak menewaskan Jerman Barat pada final Piala Dunia 1966 untuk meraih gelaran tunggal mereka dalam sejarah, England tewas semua aksi kalah mati Piala Dunia berdepan negara yang pernah merangkul trofi paling terkenal itu.
Jerman memulakannya apabila membalas dendam pada suku akhir Piala Dunia 1970, manakala aksi ‘Tangan Tuhan’ Diego Maradona dan serangan solonya menewaskan England pada kelompok lapan terakhir pada 1986.
Jerman Barat sekali lagi menghadiahkan mereka kekalahan pada saingan kalah mati 1990, kali ini penentuan penalti separuh akhir yang menyebabkan England trauma berdepan penalti berdekad lamanya.
Argentina mengatasi England menerusi penalti menyakitkan pada 1998 pada aksi 16 terakhir.
Pada 2002, Brazil menerusi Ronaldinho berjaya mengatasi David Seaman menerusi sepakan jarak jauh yang mengesahkan kemenangan 2-1 pada suku akhir.
Jerman kembali menghantui England pada 2010 apabila sepakan Frank Lampard yang tampak melintasi garisan tidak diberikan ketika kalah 4-1 pada kelompok 16 terakhir.
England bergelut ketika berdepan lawan berkualiti tampak tidak berkurangan pada era Southgate.
Selepas mara daripada peringkat kumpulan mengatasi Colombia dan Sweden, kejutan England untuk ke separuh akhir 2018 tersangkut apabila tewas kepada Croatia yang bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 di Moscow.
Menjelang pertemuan dengan Perancis yang akan menentukan bagaimana England mampu mengatasinya, Southgate tidak menyembunyikan masalah negaranya apabila risiko semakin tinggi.
Belanda akan berdepan Argentina pada suku akhir pertama dan Southgate berkata: “Dua daripada suku akhir adalah menakjubkan, pencabar bersejarah.
“Selain itu, sejarah kami tidak sebagus yang lain.
“Kami bagus bercakap mengenai diri sendiri sebagai sebuah negara tetapi buktinya hanya sedikit.” – AFP