NEW YORK: Harga minyak terus merosot pada Selasa apabila peniaga semakin bimbang terhadap pengetatan dasar bank pusat yang akan mendorong kemelesetan ekonomi dan melumpuhkan permintaan ke atas bahan tenaga, lapor Xinhua.
West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Januari susut AS$2.68 atau 3.5 peratus, untuk ditutup pada AS$74.25 setong di New York Mercantile Exchange. Ini menandakan penutupan kontrak bulan hadapan terendah sejak 23 Dis 2021, menurut Data Pasaran Dow Jones.
Minyak mentah Brent untuk penghantaran Februari merosot AS$3.33 atau empat peratus untuk ditutup pada AS$79.35 setong di London ICE Futures Exchange, penutupan terendah sejak Januari.
Kemerosotan itu menyusuli sesi suram di pasaran minyak yang menyaksikan WTI dan Brent turun masing-masing 3.8 peratus dan 3.4 peratus, pada Isnin.
Data dikeluarkan pada Isnin menunjukkan momentum kukuh dalam sektor perkhidmatan AS sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan mungkin terpaksa menaikkan kadar lebih daripada yang dijangkakan.
“Pasaran masih bergerak dalam kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan akan memacu ekonomi ke arah kemelesetan,” kata Phil Flynn, penganalisis di The Price Futures Group, dalam nota pada Selasa.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya secara kolektif dikenali sebagai OPEC+, pada Ahad memutuskan untuk berpegang pada dasar sedia ada untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari dari November hingga akhir 2023 di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran.
Peniaga juga menunggu data mengenai stok bahan api AS Rabu ini apabila Pentadbiran Maklumat Tenaga akan mengemukakan laporan status petroleum mingguannya. S&P Global Commodity Insights menjangkakan bekalan AS menunjukkan penurunan sebanyak 2.4 juta tong bagi minggu berakhir 2 Dis.
— BERNAMA