Oleh Roslan Jomel
“Jangan membenci sesiapa pun, tidak peduli seberapa banyak kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu. Hiduplah dengan rendah hati, tidak peduli seberapa kekayaanmu. Berfikirlah positif, tidak peduli seberapa keras kehidupan yang kamu jalani. Berikanlah banyak, meskipun menerima sedikit. Tetaplah menjalin hubungan dengan orang-orang yang telah melupakanmu, maafkanlah orang yang berbuat salah padamu, dan jangan berhenti mendoakan yang terbaik untuk orang yang kau sayangi.”- Saidina Ali bin Abi Talib.
Paul Auster ialah pengarang yang berkarya dengan gaya pascamoden dan tidak semua peminat karya kreatif tertarik dengan kaedah penceritaannya. Karya beliau sinonim dengan gaya perlahan dan membosankan kepada pembaca yang gemarkan aksi fizikal dan penulisan popular. Dalam novel tipis 145 muka surat, Travels in the Scriptorium, Paul Auster telah berhasil mencipta sebuah dunia kreatif yang mengganggu jiwa pembaca kerana terkesan oleh kesengsaraan psikologi watak utama. Protagonis bernama Blank tiba-tiba sahaja berada dalam sebuah bilik berkunci dan tidak mengetahui siapakah dirinya, nama, latar belakang, memori atau sebarang pertalian sejarah. Dirinya sendiri bagaikan kertas kosong tanpa identiti. Demi menyelongkar siapakah dirinya, Blank membaca dua buah manuskrip yang diletakkan dalam bilik. Blank berusaha untuk mengesan sebarang ikatan atau apa-apa sahaja ingatan untuk mengembalikan personalitinya semula. Malangnya, Blank menghidapi masalah amnesia. Permasalahan psikiatri dan kekaburan tentang identitinya, kemudian didatangi pula para pelawat dalam bilik yang entah terletak di mana, menjadikan cerita itu begitu kompleks dan misteri. Pokok cerita menjadi bercabang-cabang tetapi dianyam dengan berseni kerana ditulis oleh pengarang yang sudah mapan dalam kemahiran membina halaman kreativiti tentang kehidupan tersembunyi seseorang manusia. Cerita dalaman seseorang manusia jika digali dengan serius dan terperinci serta komprehensif, sememangnya rumit dan unik.
Setiap keluarga ada ceritanya. Pahit dan manis. Gelap dan terang. Sebuah rumah yang kelihatan besar tersergam dan cantik pula hiasannya di halaman, tidak mencerminkan situasi sebenar dalam rumah itu. Ada ribut yang melanda dalam jiwa penghuni di sebalik ketenangan luaran rumah. Tariq merupakan watak utama dalam naskhah “Semuanya Ilusi”, karya Khairina Nazihah. Pengarang memilih pendekatan yang sukar untuk menyalurkan ceritanya. Gaya demikian hampir mendekati aliran kesedaran. Teknik sedemikian mengingatkan saya dengan naskhah The Hunger, karangan Knut Hamsun. Naskhah “Semuanya Ilusi”tidak berplot sebagaimana cerita konvensional. Sebaliknya pengarang lebih menumpukan kepada pergolakan dunia dalaman watak utamanya. Isi kepala dan jiwa Tariq dibedah oleh pengarang. Kemungkinan naskhah itu diceritakan dalam satu hari. Hal ini kerana, pengarang secara dominan mahukan permasalahan utama yang ditanggung oleh watak utama difokuskan. Maka naratif “Semuanya Ilusi” bercerita dari sudut kejiwaan watak utamanya.
Tidak sebagaimana anak remaja lain yang hidup dalam kegembiraan, nasib Tariq direnggut malang dan ketakutan. Masalah dalaman dan pergolakan batinnya menjadi inti besar kepada pembinaan naskhah tersebut. Ayahnya bagaikan raksasa ganas yang bila-bila masa sahaja akan mengoyak tubuh Tariq sehingga berkecai-kecai. Dan itulah yang merencatkan aliran hidupnya dalam rumah. Pasti hidupnya menyakitkan, batin dan zahir. Himpitan masalah yang mengucar-ngacirkan keperibadiannya sebagai anak muda yang baru berusia 16 tahun, hampir-hampir mendorong Tariq untuk tekad membunuh diri. Terjun dari puncak bangunan. Itu tindakan terakhir sebagai cara melepaskan diri. Atau seperti difahami dalam bidang psikologi, suatu jeritan untuk meraih perhatian dan meminta pertolongan daripada pihak luar. Tariq bagaikan terasing dan hidup bersendirian di muka bumi.
Pengarang berusaha untuk merakam situasi yang tidak menentu dalam jiwa Tariq. Sebagai pembaca, kita diajak untuk menyelami permasalahan dalaman yang mengasak secara bertubi-tubi dalam jiwa Tariq.
“Perasaan cuak dan resah bertempur dalam dada hingga melontarkan aku dalam ketidaktentuan rasa. Ketenanganku diasak-asak. Perasaanku dikocak-kocak. Kepalaku serabut hingga melontarkan jiwaku dalam kekalutan; hunjaman soalan yang tidak mempunyai jawaban. Kelibat bayangan ayah mengacah? Ke manakah ayah menghilang? Beberapa ketika aku cuba mencari kelibatnya. Mengapa aku dibawa ke sini?”
Ada dua perkara penting dikemukakan oleh pengarang naskhah melalui monolog itu. Kelibat ayahnya dan mengapa watak utama diheret ke dalam bilik? Adakah dia sakit? Apakah jenis penyakitnya? Dua persoalan itulah yang menentukan keupayaan pengarang dalam menyampaikan isi ceritanya.
Dari apa yang diketahui, menerusi penceritaan Tariq, dia dihantui oleh bayangan keganasan ayah sendiri. Seorang kaki botol. Dan apabila fikiran dan emosi ayahnya mula tidak waras, Tariq dan ibunya kerap menjadi mangsa deraan dalam rumah. Apakah masalah sebenar yang mencengkam ayahnya? Adakah ayahnya berasa puas ketika memperlakukan isteri dan anak sendiri dengan deraan fizikal? Adakah kerana pengaruh minuman beralkohol semata-mata? Dalam suatu dialog diucapkan oleh ayah Tariq, kita maklum bahawa ayahnya pernah juga diperlakukan sedemikian. Mungkin pada masa kecilnya. Hal itu turut meremukkan sahsiah ayah Tariq sehingga terbawa-bawa setelah berkeluarga. Dan sebagai melampiaskan rasa dendam dan kekecewaan, ayah Tariq mengulangi seksaan serupa, kononnya sebagai suatu pembalasan dan keadilan.
Rantaian penderitaan secara psikologi itu merebak ke dalam jiwa Tariq. Peribadinya bagaikan kaca. Mudah retak. Fikiran dan perasaannya bersimpang-siur antara realiti dan halusinasi. Ayahnya yang sepatutnya menjadi penaung keluarga, namun menjadi sosok menakutkan. Secara tidak langsung melemahkan semangatnya untuk meneruskan hidup. Tariq yang muda dan teraniaya berasakan bahawa hari demi hari dilaluinya dalam rumah sendiri bagaikan menjalani suatu hukuman. Ke manakah dia hendak pergi? Apakah Tariq berjaya melepaskan diri daripada bayangan kejam ayahnya? Malahan Tariq, ketika berusia 9 tahun, melihat ibunya menggantung diri setelah tidak berdaya lagi untuk bersabar dengan seksaan ayah sendiri. Dahsyat. Diselubungi memori gelap sebegitu, fikiran emosi Tariq menjadi trauma. Cubaan drastik menamatkan hayat sendiri adalah disebabkan oleh bayangan imej kematian mengerikan ibunya dalam rumah. Dunia keseluruhannya gelap. Alangkah membuak-buak rasa benci Tariq ke atas ayah kandungnya itu.
Namun begitu, apabila kembali normal, ayahnya bahkan bersifat penyayang. Perubahan karakter sebegitu mengelirukan Tariq. Bilakah ayah menjadi normal dan sebaliknya, sungguh melemaskan jiwa Tariq yang masih mentah dan belum mengerti apa-apa tentang kecelaruan psikologi manusia. Kesan perbuatan ayahnya malahan menyebabkan Tariq semakin keliru tentang diri sendiri. Hal itu melemparkan diri Tariq dalam gelungan ilusi dan khayalan yang saling bertindihan. Adakah ayahnya menghidapi gangguan mental? Memiliki personaliti yang berbeza-beza? Ataupun mengalami penyakit skizofrenia hingga kewarasan dan karakter seseorang individu itu terjejas? Mengapakah ayahnya tidak diubat selayaknya oleh pakar kejiwaan? Mengapakah dia yang harus menjadi mangsa kepada penyakit mental seorang ketua rumah? Secara refleksi, adakah Tariq pula yang akan membalas semua kejahatan ayahnya?
Segala penyeksaan batin yang dilakukan oleh ayahnya telah membebankan diri Tariq yang masih muda. Adakah penyakit atau tindakan agresif ayahnya bakal mempengaruhi kedewasaan Tariq nanti? Bagaimanakah jika pada suatu hari kelak dia berkeluarga? Adakah dia turut menyeksa anak sendiri kerana dendam terpendam dalam dirinya sejak dahulu? Persoalan itu begitu kompleks. Tariq dikurung dalam bilik. Kadang-kadang tidak diberikan makanan. Dia disebat dengan tali pinggang. Secara mental dan fizikal, Tariq bagaikan banduan yang dihukum tanpa sebab dan alasan oleh ayahnya dalam rumah. Malangnya, apa yang dibimbangkan telah menimpa ke atas diri Tariq. Sama ada benar-benar berlaku atau ia sekadar kegalauan perasaan, Tariq terlibat dengan jenayah pembunuhan. Kemarahan yang membakar dalam dirinya telah mendorong Tariq untuk membunuh ayah sendiri. Insiden itu sangat penting untuk memperkuatkan konflik cerita. Ia adegan yang menjadi kunci cerita kepada naskhah itu. Sayangnya, babak itu sekadar ditampalkan begitu sahaja.
Kononnya pihak polis telah menemui cap jari Tariq pada sebilah pisau di tempat kejadian pembunuhan. Orang yang menjadi korban pembunuhan ialah ayahnya sendiri. Dan Tariq pelakunya. Namun, episod jenayah yang bermain-main dalam fikiran Tariq itu bukan kejadian sebenar. Fikiran dan tubuh Tariq tidak berada pada tempat yang sama dalam masa serentak. Ayah Tariq dilaporkan telah meninggal dunia. Maka, pembunuhan yang kononnya dilakukan oleh Tariq, sekadar fiksyen. Hakikatnya, ayah Tariq dijumpai mati di kediamannya. Tiada perincian maklumat disertakan oleh pengarang. Di situlah dilihat kelemahan naskhah “Semuanya Ilusi”. Persoalan bagaimana ayah Tariq meninggal dunia, tidak dilampirkan dalam naskhah. Pada hujung tulisan, barulah kita menyedari bahawa ayah Tariq itu bukan ayah kandung. Sebaliknya ayah tiri. Jika bukan ayah kandung secara biologi, adakah gangguan mental sebegitu turut diwarisi oleh Tariq? Hal itu boleh mengundang perbincangan saintifik. Adakah pengarang menyedari aspek itu ketika menghasilkan naskhahnya?
Siapa yang menghantar Tariq ke pusat rawatan, juga tidak diberitahu. Di dalam bilik rawatan, fikiran dan perasaan Tariq semakin bergentayangan. Dalam ilusinya, Tariq seperti berada dalam perjalanan yang melewati labirin demi labirin hingga melelahkan tenaga tubuhnya dan fikiran. Emosi menjadi tidak stabil. Adakah dia masih berusia 9 tahun atau sudah melepasi 18 tahun? Gangguan alam nyata dan khayalan telah membelah kompas kehidupannya. Penyakit yang melibatkan mental, tidak sepatutnya dipandang mudah oleh masyarakat. Hal itu kerana penyakit sedemikian mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan proses pembentukan karakter seseorang individu. Tariq benar-benar dalam keadaan kritikal. Dia bagaikan hidup dalam mimpi. Kajian ilmiah mendapati faktor genetik menjadi penyumbang kepada penyakit bipolar, iaitu sekiranya ada ahli keluarga yang mengalami masalah penyakit emosi seperti kemurungan atau bipolar, maka seseorang itu cenderung untuk mengalami masalah yang sama.
Doktor yang mengendalikan masalah Tariq mendakwa bahawa pesakit mudanya itu mengalami amnesia psikogenik atau amnesia disosiatif. Menurut analisis doktor, Tariq mengalami gangguan ingatan yang dicirikan oleh kehilangan ingatan episodik secara tiba-tiba. Pesakit boleh mengalami situasi tersebut untuk tempoh masa yang singkat atau boleh juga sehingga bertahun. Ada juga yang kritikal sehingga mengalaminya dalam tempoh yang lebih lama. Amnesia disosiatif telah ditakrifkan sebagai gangguan disosiatif yang dicirikan oleh jurang ingatan yang dilaporkan secara retrospektif. Jurang itu melibatkan ketidakupayaan untuk mengingat maklumat peribadi, biasanya bersifat traumatik atau tekanan untuk melindungi otak dan mental. Demikian apa yang berlaku dalam diri Tariq daripada perspektif perubatan. Bunyinya sangat menyeramkan buat Tariq yang masih berusia belasan tahun.
Memandangkan Tariq bukan anak kandung ayahnya, lalu adakah penyakit mental yang dialami ayahnya menular ke dalam karakternya nanti? Saya mula teringat dengan istilah epigenetik setelah menonton drama bersiri Black Butterflies menerusi saluran Netflix. Tariq berasa lega apabila mengetahui hal sebenar. Jelas bahawa ayah tirinya mati bukanlah disebabkan oleh perbuatan jenayah. Dia barangkali hanya terbawa-bawa oleh perasaan marah dan benci terhadap ayahnya itu lalu mencipta ilusi kononnya telah membunuh ayah tirinya dengan menggunakan sebilah pisau. Bayangkan kalau cap jarinya memang ada pada sebilah pisau dalam insiden pembunuhan itu, adakah Tariq didakwa secara hukum? Kemungkinan itulah yang merangsang agar Tariq didiagnosis mengalami psikosis atau amnesia psikogenik agar terlepas daripada dakwaan undang-undang. Dengan penuh harapan, Tariq yakin bahawa khayalan liarnya itu sekadar ilusi. Dalam diri Tariq, dia masih berfikiran positif. Dia mengambil sikap untuk berdamai dengan perbuatan ayah tiri yang telah menakutkan kehidupannya dalam rumah sendiri. Apa-apa pun dia bekas suami kepada ibunya.
Naskhah “Semuanya Ilusi” secara tersurat membayangkan isi cerita. Tajuknya kedengaran polos dan terus menyerlahkan arah ceritanya. Apa yang hendak diangkat oleh Khairina Nazihah ialah subjek yang berat kerana melibatkan kajian perwatakan. Saya sudah beberapa kali menangani karya-karya bertema kejiwaan sedemikian rupa oleh para pengarang muda. Pada suatu peringkat, saya memuji kesungguhan pengarang untuk menyoroti isu-isu kejiwaan itu dengan rujukan ilmu bantu yang diraih melalui pembacaan untuk tema-tema berkaitan. Itu bermakna, mereka membaca buku-buku selain sastera. Namun, pada suatu peringkat, para pengarang masih gagal untuk menampilkan perincian pada watak utama yang hendak diketengahkan itu. Hal ini berlaku kerana keterbatasan pengetahuan tentang persoalan yang disoroti dan juga imaginasi serta kedalaman dalam perincian pada perkembangan karakter utama. Biarlah masa dan pengalaman kehidupan yang akan mematangkan mereka dalam urusan kesusasteraan nanti. Karya kreatif menuntut seseorang itu untuk terus belajar menguasai teknik penulisan sehingga seumur hidupnya. Demikian pesan Ernest Hemingway dalam buku Ernest Hemingway on Writing.
Apa yang dibayangkan atau dialami dalam fikiran dan perasaan watak utamanya, sekadar impak daripada kesan deraan oleh ayahnya. Beban psikologi yang ditanggung oleh watak utama sangat berat untuk dipikul secara sendirian. Maka, kesan penyeksaan ayah tirinya ke atas Tariq menyebabkan mental dan fikiran Tariq terbelenggu. Tariq terperangkap dalam ruang penderaan dan diburu oleh imej ganas ayah tirinya yang dikhabarkan telah pun meninggal dunia. Anggap sahaja, ada seseorang yang baik hati menghantar Tariq untuk menerima rawatan secara profesional di hospital. Di situlah nanti, pakar perubatan akan mengesan dan berusaha sedaya upaya untuk memulihkan gangguan mental yang dialami oleh Tariq. Berapa lama tempoh Tariq akan pulih, sukar untuk dipastikan. Adakah Tariq akan seratus peratus kembali normal sebagaimana masyarakat lain, juga sukar dijamin oleh testimonial doktor pakar. Itulah keanehan hidup.