KUCHING: Anugerah Muzik Bidayuh 2022 (BMA 2022) akan diadakan Isnin depan, 12 Disember ini di Hotel Pullman, di sini.
Acara kali kedua diadakan ini adalah anjuran Persatuan Artis dan Pemuzik Bidayuh Sarawak (BAMA) dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, berkata BMA 2022 akan bermula jam 8 hingga 11 malam dan dijangka dihadiri 400 tetamu.
“Terdapat lapan kategori anugerah iaitu lagu terbaik, vokalis terbaik, muzik video terbaik, susunan muzik terbaik, lirik lagu terbaik, artis baharu terbaik, pencapaian sepanjang hayat dan Anugerah Khas BAMA.
“Pemenang untuk semua kategori akan menerima wang tunai RM2,000 (kecuali Pencapaian Sepanjang Hayat RM1, 000), piala dan sijil penyertaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, di sini hari ini.
BAMA ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi pada 6 Januari 2015 dengan objektif untuk mewakili dan mempromosi kepentingan artis dan pemuzik Malaysia yang membuat persembahan Bidayuh.
Ini bagi membantu dan mempromosikan peningkatan taraf persembahan artis dan pemuzik Bidayuh ke taraf antarabangsa.
“Selain itu BAMA juga sebagai badan untuk memberi pengiktirafan dengan menganjurkan acara berkualiti setiap tahun dan untuk menggalakkan hubungan rapat dalam kalangan penyanyi, komposer, penulis lirik dan pemuzik Bidayuh untuk kepentingan Industri Muzik Bidayuh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BAMA, Dr Alim Impira berkata, ahlinya terdiri daripada penyanyi, pemuzik, penulis lagu, penulis lirik, pemilik syarikat rakaman, penyanyi, pemuzik sesi, komposer muzik dan mereka yang terlibat dalam industri filem dan video.
“Objektif BMA 2022 adalah untuk mengiktiraf sumbangan mereka yang terlibat dalam industri muzik Bidayuh sebagai tapak pelancaran artis dan pemuzik Bidayuh untuk bersama-sama memberi inspirasi antara satu sama lain dalam semangat mereka, sama ada sebagai hobi atau sebagai kerjaya profesional.
“Melalui BMA 2022, BAMA berharap dapat membangkitkan generasi muda mengenai peluang yang menguntungkan dalam industri muzik,” katanya.
Dalam pada itu, BAMA berhasrat untuk menjadikan BMA sebagai anugerah tahunan – pameran anugerah muzik tempatan dalam industri kreatif dan seni persembahan di Sarawak.
“BMA 2022 dijangka menarik kira-kira 400 tetamu. BAMA menjemput penyanyi Bidayuh terkenal termasuk Carrie Geres, Felicia Gek, Lisa Abui, Maria Nohiem, dan penyanyi veteran, Mike Rantai untuk membuat persembahan semasa acara itu.
“Pada sebelah pagi, dua bengkel akan diadakan bermula 9 pagi hingga 12.30 tengahari iaitu Bengkel Asas Vokal yang dikendalikan oleh Guru Vokal Tempatan, Tan Ai Ling, dan Bengkel Etika Persembahan oleh pelakon terkenal Malaysia, Yana Samsudin,” katanya sambil menambah bengkel ini terhad kepada 50 orang sahaja.
Orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri majlis tersebut dengan menempah tempat duduk mereka menggunakan pautan yang diberikan di Facebook BAMA Sarawak. Tempat duduk terhad disediakan.
Justeru, BAMA menjemput orang ramai untuk merasai dan menjadi sebahagian daripada BMA 2022. Masuk adalah percuma!